Skip to main
Logo Malaysiakini

Zafrul: BNM perlu perbaiki komunikasi, elak kekeliruan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memperbaiki komunikasinya dengan pelanggan untuk mengelakkan kekeliruan.

Menurut Tengku Zafrul, soalan lazim yang dikeluarkan oleh BNM semalam telah menyebabkan kekeliruan berhubung moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli (HP) dan pembiayaan Islam berkadar tetap.

"Wujud kekeliruan dalam soalan lazim yang diberikan BNM. Jadi ilustrasi yang diberikan juga mengelirukan. Tapi tidak ada perbezaan dalam peruntukan itu.

"Apapun, pelanggan kena bayar faedah itu selepas ini, bukan tiada faedah. Pelanggan keliru sama ada ia akan didenda atau tiada faedah.

"Itu sebabnya ada kekeliruan dalam soalan lazim.

"Tapi dalam kenyataan BNM tidak ada penjelasan tapi pagi ini BNM ada beri penjelasan dan ia semakin jelas. 

"Saya harap komunikasi antara bank dan pelanggan harus dipertingkatkan dari segi komunikasi," katanya seperti dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sistem Geran Khas Prihatin di Menara Hasil Bangi hari ini.

Pengumuman itu semalam telah menyebabkan kritikan meluas terhadap kementerian kewangan di media sosial.

Dalam kenyataannya hari ini, BNM menyatakan rasa kesal kerana pengumumannya itu mungkin menimbulkan kekeliruan dan kerisauan.

Dalam soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan hari ini, BNM menafikan telah membatalkan keputusan mengenai penangguhan pembayaran enam bulan untuk kedua-dua pinjaman tersebut.

"Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman sewa beli tidak boleh diubah.

"Salah tanggapan ini juga sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang kami tunjukkan dalam versi awal soalan lazim ini, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat," katanya.

BNM juga berkata kekeliruan itu timbul susulan FAQ sebelum ini yang membawa kepada tanggapan tertentu.

"Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada soalan lazim ini apabila Institusi Kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing.

"Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru (yang diambil kira) kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik," katanya.