Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tugas KKM pastikan warganegara, warga asing tak dijangkiti Covid-19'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan akan terus berusaha melindungi semua individu daripada jangkitan Covid-19 tanpa mengira status kewarganegaraan dan imigresen mereka.

Perkara itu dinyatakan berikutan serbuan terhadap pendatang tanpa izin di kawasan-kawasan tertentu yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ditanya mengenai kesan serbuan berkenaan terhadap usaha KKM melakukan ujian Covid-19 berskala besar, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan perkara itu di luar bidang kuasa kementeriannya.

"Tugas kami di kementerian ini adalah untuk memastikan sama ada mereka pendatang yang ada dokumen, tiada dokumen atau rakyat kita, mereka tidak dijangkiti. 

"Oleh itu, kami tutup kawasan itu, kami lakukan ujian untuk mereka semua dan kita pastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19 [...]

"Selain daripada itu, adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen," katanya.

"Tugas kami adalah untuk memastikan bahawa sama ada di dalam penjara atau di pusat pembendungan, mereka bebas daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Noor Hisham sebelum ini menjelaskan ujian berskala besar disasarkan terhadap warga negara asing di kawasan PKPD yang terdedah dengan kluster jangkitan Sri Petaling.

Terdahulu, ratusan pegawai imigresen, polis, pegawai Kementerian Kesihatan dan pegawai Pasukan Pertahanan Awam menyerbu Menara City One, Malayan Mansion dan bangunan lain di sepanjang Jalan Masjid India pagi ini.

Saksi mengatakan pemeriksaan dari pintu ke pintu telah dijalankan dan mereka yang tidak mempunyai dokumen dikeluarkan daripada tempat tinggal mereka.

Serbuan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu melibatkan Jabatan imigresen, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam.

Jabatan Imigresen masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.