Skip to main
Logo Malaysiakini

6 persoalan tentang kelonggaran PKPB 4 Mei ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Masih terdapat beberapa persoalan susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini, berkenaan kebenaran untuk kembali beroperasi bermula 4 Mei, susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Sementara prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi penjelasan lanjut berkenaan PKPB - seperti senarai perniagaan dan kegiatan yang masih tidak dibenarkan beroperasi - beberapa perkara tidak jelas, antaranya perubahan peraturan dalam PKP yang masih berkuatkuasa sekarang.

Malaysiakini menyenaraikan beberapa persoalan selepas meneliti sejumlah soalan lazim berkenaan PKPB yang dikeluarkan oleh MKN:

  • Adakah had perjalanan tidak lebih 10km dari rumah untuk individu membeli makanan dan barang keperluan lain masih berkuat kuasa? Adakah ia hanya terhad untuk dua orang dalam satu kereta untuk melakukannya?
  • Adakah sekatan jalan raya oleh polis dan tentera akan dikurangkan atau kekal sepanjang pelonggaran sekatan dalam PKPB?
  • Adakah pihak berkuasa bersedia dengan pertambahan kereta di jalan raya selepas kebanyakan kegiatan ekonomi kembali bermula?
  • Adakah orang awam masih terhad untuk keluar rumah bagi perkara penting sahaja antara pukul lapan pagi hingga 10 malam?
  • Jika banyak sektor ekonomi kembali berjalan, bagaimana dengan Parlimen? Adakah sidang Parlimen akan berlangsung lebih daripada sehari? Jika tidak, mengapa Parlimen dikecualikan daripada kebenaran tersebut?
  • Adakah mahkamah di seluruh negara dibenarkan kembali beroperasi sepenuhnya bermula Isnin ini?

Terdahulu hari ini, Muhyiddin mengumumkan pembukaan semula kebanyakan perniagaan dan kegiatan bermula 4 Mei ini, dengan kerajaan ingin menjana semula ekonomi selepas lebih sebulan penguatkuasaan PKP untuk membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun kelonggaran dalam PKPB tidak terpakai kepada perniagaan, operasi atau apa-apa kegiatan yang membawa kepada perhimpunan ramai, kontak badan dan jika penjarakan sosial tidak dapat dikekalkan.

Dalam perutusan sempena Hari Pekerja tadi, Muhyiddin berkata kebenaran tersebut dibuat berdasarkan SOP dan peraturan yang ketat.


Senarai penuh kegiatan yang tidak dibenarkan ketika PKPB

Garis panduan MKN untuk pembukaan semula perniagaan

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.