Skip to main
Logo Malaysiakini

Berhenti salahkan penjawat awam, kata PKR pada menteri PN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bak lain tempat yang bengkak tapi tempat lain yang bernanah. Itu bidalan digunakan seorang pemimpin kanan PKR berhubung kekecohan isu moratorium pinjaman sewa beli dan peribadi membabitkan Bank Negara yang 'panas' sejak semalam.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, berkata tidak wajar untuk pemimpin kerajaan terus-terusan menyalahkan kakitangan awam atas kekeliruan yang berlaku dari semasa ke semasa.

"Kekeliruan tentang moratorium adalah perkara polisi yang merupakan bidang kuasa kerajaan.

"Menteri Kewangan harus memikul tanggungjawab ini dan selesaikan masalah tersebut secara tuntas.

"Menuding jari pada kakitangan kerajaan yang terima arahan daripada kerajaan ibarat lain bengkak lain bernanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai sejak semalam menyatakan rasa marah ekoran kekeliruan mengenai kaedah serta syarat pelaksanaan moratorium pinjaman peribadi dan sewa beli yang diberikan bank-bank komersial.

Sebelum ini kerajaan - sebagai langkah meringankan kesan wabak Covid-19 - membenarkan peminjam menangguhkan bayaran ansuran bulanan selama enam bulan.

Lebih baik tutup mulut

Beberapa kenyataan menteri dan maklumat awal menunjukkan peminjam tidak dikenakan faedah atau bunga untuk penangguhan berkenaan.

Bagaimanapun semalam Bank Negara mengumumkan pelaksanaan moratorium itu memerlukan syarat yang tertentu dan peminjam tetap dikenakan faedah atas penangguhan berkenaan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meminta Bank Negara memperbaiki kaedah komunikasinya dengan pelanggan untuk mengelakkan kekeliruan. 

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, pula awal petang tadi menciap dengan gesaan agar Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus, dipanggil untuk memberi penjelasan.

Chang berkata langkah kerajaan PN - yang dilabelnya sebagai pusingan U - menimbulkan kemarahan orang ramai namun Tengku Zafrul sebaliknya bukan sahaja tidak mengaku salah, malah menyalahkan Bank Negara.

"Ini bukan kali pertama pemimpin PN menyalahkan penjawat awam yang semata-mata menjalankan tugas mereka.

"Pada Mac lalu lima pemimpin kerajaan negeri tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas Covid-19 bersama perdana menteri.

"Apabila perdana menteri dipertikaikan, Ketua Setiausaha Negara yang dipersalahkan dan terpaksa meminta maaf.

"Apakah ini cara PN menjaga maruah para penjawat awam?" katanya.


Baca Soalan lazim Bank Negara isu moratorium


Ahli parlimen Tanjung Malim itu berkata, jika menteri PN wajar menghentikan tindakan menyalahkan penjawat awam.

"Kalau menteri PN tidak berupaya untuk merungkai kemelut negara, mereka harus menjaga mulut dan mengelakkan diri daripada mengguris hati penjawat awam, terutamanya mereka yang sedang berperang dengan virus Covid-19 di barisan hadapan," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.