Skip to main
Logo Malaysiakini

Strategi tiga S untuk memulihkan ekonomi negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Satu perkara yang jelas dalam krisis wabak Covid-19 ialah betapa pentingnya golongan pekerja. Kita bergantung kepada pekerja barisan hadapan untuk melindungi negara. Walaupun kita tidak sanggup membayar mereka dengan gaji yang tinggi.

Kilang-kilang bergantung kepada pekerja untuk berfungsi. Jika pekerja tidak dibenarkan keluar rumah, maka banyak industri terbantut.

Namun apabila ribut ekonomi datang, pekerja yang terlebih dulu terkena kesannya seperti dipotong gaji, diberhentikan kerja, beban hutang bertambah dan sebagainya.

Hari ini mungkin Hari Pekerja yang amat memedihkan.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melaporkan bahawa 2.4 juta pekerja berisiko kehilangan kerja mereka kerana wabak Covid-19 ini.

Laporan media juga pernah menyatakan bahawa kerugian dialami dalam tempoh perintah kawalan pergerakan boleh mencecah 25 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kita.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassim dalam perutusan Hari Pekerja pula menyatakan bahawa kerugian ditanggung negara setakat ini lebih kurang RM63 billion.

Masalahnya, semua bebanan kerugian ini sering diletakkan di bahu golongan pekerja. Maka mereka perlu menanggungnya melalui pemotongan gaji, pemberhentian kerja, pertambahan hutang dan sebagainya.

Terperuk dalam kemiskinan kekal

Saya telah menulis tentang fenomena OMB - iaitu orang miskin baru - merujuk kepada golongan yang pada asalnya bukan miskin, tetapi menjadi miskin akibat kehilangan sebahagian atau pun seluruh gaji mereka kerana Covid-19.

Golongan OMB dan para pekerja pada amnya memang tidak ingin bergantung kepada bantuan bersifat kebajikan. Apa yang mereka perlukan ialah kepastian mengenai bila, dan bagaimana, mereka boleh menyambung semula aktiviti menjana pendapatan masing-masing.

Lebih lama mereka berada dalam keadaan ekonomi tidak menentu seperti sekarang, lebih sukar untuk mereka bangkit semula; dan lebih tinggi kemungkinan mereka untuk terperangkap dalam kemiskinan kekal.

Saya juga sudah membincangkan dua kriteria untuk kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan, iaitu, statistik Covid-19 perlu rendah dan kesiapsiagaan sistem perlu tinggi.

Hasil usaha pekerja barisan hadapan, statistik kes Covid-19 semakin rendah dan lengkung perebakan semakin diratakan.

Ya, memang perdana menteri ada berkata bahawa kerajaan sudah bersedia dengan tenaga kerja, peralatan dan sumber sektor perubatan yang mencukupi jika berlaku kenaikan baru dalam kes Covid-19.

Namun rakyat tidak berasa yakin tentang kesiapsiagaan sistem yang ada, terutamanya apabila hanya kira-kira dua minggu lalu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru orang ramai menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada pekerja barisan hadapan.

Kini, melihat kepada keperluan semasa, kerajaan bukan saja perlu meneliti dua kriteria di atas, malah jika berhasrat membuka semula sektor ekonomi, mereka perlu melaksanakan suatu strategi pemulihan ekonomi yang menyeluruh.

Kesan pada belanjawan PBT

Hal ini kerana hanya membuka ekonomi semata-mata ia tidak memadai untuk membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan, yang terputus gaji dan usahawan yang terpaksa menanggung kerugian akibat wabak Covid-19.

Bagi menampakkan keberkesanan yang tinggi, strategi pemulihan ekonomi ini perlu:

  • Menjurus kepada peningkatan produktiviti pekerja secara bermaruah, bukan sekadar pemberian ala kebajikan secara populis.
  • Diputuskan secara musyawarah bersama pemegang taruh termasuk wakil rakyat - sama ada dari parti pemerintah atau pembangkang - pemain industri, wakil pekerja dan pakar-pakar bidang berkaitan.
  • Melibatkan kerajaan negeri sebagai pemberi input dan pelaksana tempatan.
  • Dilaksanakan secara telus agar tidak berlaku ketirisan dan matlamat strategi boleh dicapai dengan cepat dan tepat.
  • Merangkumi rangsangan kepada sektor swasta dan juga peningkatan perbelanjaan awam.

Jika kerajaan mengambil pendekatan tanpa perancangan rapi seperti pakej rangsangan tempoh hari, maka usaha kita akan menjadi sia-sia, malah ia bagai mencurah garam ke laut.

Walaupun setakat ini penjawat awam masih belum terjejas, namun jika kerajaan masih mengambil sikap sambil lewa, maka penjawat awam mungkin menjadi mangsa seterusnya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini


Saya berikan contoh. Perbelanjaan kerajaan yang tinggi akibat pelbagai pakej bantuan dan pada masa sama kutipan cukai pula lebih rendah akibat dasar pengeculian cukai dan juga kemerosotan ekonomi dan sebagainya, akan memberi kesan kepada belanjawan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan operasi mereka.

Jika PBT tidak mampu untuk membayar gaji pekerja, adakah kerajaan negeri dan pusat akan menanggung pembayaran tersebut? Jika tidak, kemungkinan pekerja PBT akan paling awal menjadi OMB daripada kalangan penjawat awam.

Kesimpulannya, kerajaan perlu mengambil serius terhadap tiga S iaitu statistik Covid-19, kesiapsiagaan sistem dan strategi pemulihan ekonomi.

Jangan sia-siakan usaha pekerja barisan hadapan yang bertungkus lumus melindungi kita untuk akhirnya - disebabkan kealpaan orang politik - nyawa rakyat terus diancam dan ekonomi negara tidak mampu pulih kembali.


STEVEN SIM ialah ahli parlimen Bukit Mertajam dan pengarah Kempen Penang Lawan Covid-19 yang bertanggungjawab dalam komunikasi dan pemberdayaan masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.