Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan PKS cadang gubal akta lepaskan liabiliti kontrak sewa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan dicadangkan agar menggubal satu akta khusus bagi membolehkan penyewa dan pemilik premis terlepas daripada tindakan undang-undang jika mereka tidak mampu melunaskan perjanjian sewaan dalam keadaan luar kawalan seperti semasa dilanda wabak Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan PKS (perusahaan kecil dan sederhana) Malaysia, Michael Kang Hua Keong, wabak Covid-19 yang melanda negara menyebabkan banyak pengusaha tidak dapat menjalankan perusahaan dan melangsaikan sewa premis masing-masing.

Sedangkan, katanya, ketidakmampuan penyewa melangsaikan bayaran sewa bukanlah salah mereka, namun pada masa sama juga, ia bukanlah salah pemilik premis terbabit.

“Kita sekarang minta kerajaan buat akta (berkenaan) Covid-19. Apa-apa perjanjian sewaan, kalau boleh diatasi, sebab ini (wabak Covid-19) macam force majeure (di luar kawalan manusia).

“Ini bukan penyewa punya masalah, atau pemilik premis punya masalah.

“Kalau boleh ditebus (wang sewaan) semua sekali, perjanjian tak berjalan (seperti biasa), kita bolehlah bincang,” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Force majeure ialah klausa dalam kontrak yang membebaskan kedua-dua pihak - penyewa dan pemilik premis - daripada liabiliti dan kebertanggungjawaban apabila sesuatu kejadian atau peristiwa luar biasa terjadi, melangkaui kawalan kedua-dua pihak.

Ia termasuklah seperti perang, tunjuk perasaan, rusuhan, jenayah, epidemik, atau peristiwa-peristiwa yang menghalang mana-mana pihak melunaskan tanggungjawab seperti yang dinyatakan dalam sesuatu kontrak.

Beri RM100 dapat RM7

Dengan itu, kata Kang, pemilik premis tidak boleh menyaman penyewa jika bayaran tidak dapat dilunaskan dalam keadaan luar kawalan, seperti dilanda Covid-19.

Kang mengemukakan cadangan itu ketika diminta mengulas mengenai aduan segelintir penyewa yang terbeban kerana masih perlu membuat bayaran sewa premis meskipun tidak boleh menjalankan perniagaan mereka.

Sedangkan, kerajaan pada 6 April lalu mengumumkan bahawa pemilik premis swasta yang mengurangkan sewa sebanyak sekurang-kurangnya 30 peratus layak mendapat potongan cukai tambahan bersamaan dengan pengurangan tersebut. 

Bagaimanapun, kata Kang, berdasarkan perbualannya dengan tuan premis tertentu, potongan cukai yang diterima itu tidak sepadan dengan amaun potongan sewa yang diberikan, sekali gus menyebabkan kerugian buat mereka.

Katanya, ada pemilik premis mendakwa, sekiranya mereka memberikan potongan cukai sebanyak RM100, mereka hanya akan mendapat potongan RM7 dalam cukai pendapatan.

Untuk rekod, pengurangan sewa yang diberikan oleh pemilik premis akan ditolak daripada jumlah pendapatan yang boleh dicukaikan, sebelum pengiraan cukai dilakukan.

Oleh hal yang demikian, cadang Kang, kerajaan boleh memberikan potongan terhadap cukai pendapatan yang harus dibayar pemilik, setara dengan amaun pengurangan sewa yang diberikan.

Beri subsidi terus ke penyewa

“Kalau kata dia punya sewa RM1,000, dia bagi 30 peratus (kurang), RM300 diskaun.

“Kalau terus potong cukai pendapatan (nilai itu), jadi banyak orang boleh bagi (pengurangan sewa premis).

“Sekarang tak ada. Kamu bagi (kurang) RM300, kena kira berapa peratus (pada jumlah pendapatan dicukaikan). Tak banyak, sikit saja,” katanya.

Ekoran masalah sewa premis yang tidak mendapat pengurangan juga, ada pengusaha PKS yang meminta kerajaan mempertimbangkan supaya insentif yang sepatutnya diberikan buat pemilik premis, dapat dipindahkan kepada penyewa. 

Mengulas mengenai cadangan itu, kata Kang, ia juga boleh dilakukan, sekiranya pelaksanaannya dibuat dengan mengambil konsep pemberian tunai menerusi bantuan ‘subsidi sewa’ terus kepada penyewa.

Setelah lebih enam minggu perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyaksikan semua perusahaan diarahkan menutup operasi kecuali perkhidatan penting, hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersayarat (PKPB). 

PKPB akan menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan, kecuali beberapa sektor yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan Covid-19.

Dalam kata lain, sebahagian besar rakyat dibenarkan kembali bekerja dan pengusaha dibenarkan menjalankan perusahaan masing-masing selagi mereka mematuhi prosedur operasi standard kesihatan yang ketat seperti ditetapkan. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.