Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rohingya hanya lunak perangai bila jumlahnya kecil'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Rais Yatim berkata, orang ramai perlu berlajar daripada "sejarah" berhubung kedatangan kaum lain ke negara ini apabila menanggapi isu pelarian Rohingya.

Kata bekas menteri itu, warga Rohingya hanya "lunak perangai" apabila jumlahnya kecil.

"Rohingya ini masa bilanganya kecil memeng lunak perangai, pijak semut pun tak mati. Tapi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita.

"Kaum lain yang datang ke mari zaman Inggeris 20-an begitu juga akhirnya. Kita sama-samalah belajar dari sejarah yang setakat ini banyak menyebelahi orang luar," katanya dalam satu kiriman di Twitter,

Rais berkata demikian sebagai respons tehadap bekas ketua polis negara Musa Hassan yang menyorot berhubung kes tiga warga Rohingya terlibat pecah rumah.

 

Sementara itu, Adun Bagan Dalam, M Satees mengkritik Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar kerana menyalahkan DAP atas sentimen anti-Rohingya di media sosial.

"Bolehkah Santhara menunjukkan satu kenyataan oleh pemimpin DAP, mengenai isu Rohingya, yang menggambarkan komen xenofobia (prejudis terhadap orang lain) terhadap pelarian? Sudah tentu, dia tidak boleh.

"Sebagai sebuah parti demokratik sosial, DAP selalu mewakili masyarakat yang tertindas di seluruh dunia. Bukan hanya untuk orang Rohingya, DAP juga sentiasa membela mangsa penindasan, baik di Palestin, Myanmar atau Sri Lanka," kata Satees.

Ahli parlimen DAP itu berkata Santhara sebaliknya harus menasihati rakan-rakannya dalam Perikatan Nasional (PN) agar lebih konsisten dalam isu Rohingya.

"Daripada berusaha untuk menyalahkan DAP atas sesuatu yang hanya khayalannya, Santhara sebaliknya harus menasihati rakan-rakan barunya dari Umno dan PAS agar lebih konsisten (dalam isu Rohingya), dan tidak mengubah pendirian mereka untuk modal politik.

"DAP sentiasa konsisten dalam isu kemanusiaan; kami tidak mengubah rentak kami agar sesuai dengan persekitaran baru.

"Jelas, orang seperti Santhara tidak akan memahami sikap konsisten parti seperti DAP; orang seperti dia dapat mengubah pendirian mereka pada setiap keadaan, seperti bagaimana dia dan rakan-rakannya dua bulan yang lalu," katanya.

Santhara adalah antara ahli parlimen yang meninggalkan PKR bersama Mohamed Azmin Ali dalam 'Langkah Sheraton' yang seterusnya menyebabkan kejatuhan kerajaan PH.

Santhara kini menjadi sebahagian daripada pemerintahan PN. Laman web parlimen menyenaraikannya sebagai Ahli Parlimen Bersatu.

Isu mengenai warga Rohingya sekali lagi menjadi tumpuan setelah Tentera Laut Diraja Malaysia mematahkan cubaan kapal pelarian yang membawa sekitar 200 orang pada 16 April memasuki negara.

Sehari sebelum itu, dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 24 orang telah meninggal dunia setelah kapal yang membawa 382 pelarian Rohingya berulang kali diarahkan meninggalkan perairan negara oleh pihak berkuasa Malaysia.

Mereka akhirnya diselamatkan oleh pengawal pantai Bangladesh, yang mengatakan pelarian berkenaan sudah berada di laut selama dua bulan.

Para pelarian berkenaan melarikan diri dari Myanmar, yang tidak mengakui masyarakat Rohingya sebagai warganegara.

[Baca berita asal]