Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kes positif Covid-19 di Masjid India sudah diasingkan sebelum serbuan'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penduduk di kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum pihak berkuasa membuat serbuan terhadap warga asing tanpa dokumen di sana.

Justeru, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi jaminan bahawa tiada risiko penularan wabak di kalangan 586 warga asing yang ditahan semalam.

"Dalam dua minggu terakhir, kami telah melakukan tiga ujian swab terhadap mereka. Kami yakin mereka bebas dari Covid-19.

"Kes positif itu sudah dikeluarkan dan dimasukkan ke hospital," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu semasa sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata 3,300 daripada 15,000 orang yang telah menjalani ujian dengan KKM setakat ini merupakn bukan warganegara.

Kenyataan Noor Hisham itu selari dengan kenyataan Menteri Pertahanan Ismail Sabri hari ini mengenai serbuan itu.

Dalam satu operasi mengejutt semalam, kira-kira 300 anggota Jabatan Imigresen, polis, KKM dan Angkatan Pertahanan Awam masuk ke beberapa bangunan di Jalan Masjid India - antaranya Malayan Mansion dan Menarai City One - yang kini di bawah PKPD.

Penduduk di situ berkata pihak berkuasa membuat pemeriksaan dari pintu ke pintu dan warga asing yang tiada dokumen dibawa dengan menaiki trak.

NGO hak imigran mengkritik tindakan itu, dengan memberi peringatan ia akan memaksa pelarian dan warga asing bersembunyi dan justeru menggagalkan usaha KKM untuk melakukan ujian saringan massa.

Mereka juga membangkitkan persoalan sama ada penjarakan sosial akan diamalkan di pusat tahanan atau tidak.

Sementara itu, Ismail menafikan bahawa kerajaan bertindak keras dan memberi jaminan bahawa mereka yang ditahan "dilayan dengan baik".

"Bertindak zalim? Tidak betul.

"Kerana sewaktu mereka berada di PKPD, mereka mendapat makanan yang sama seperti rakyat kita, walaupun NGO yang memberi makanan kepada meraka," kata Ismail.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.