Skip to main
Logo Malaysiakini

'Warga asing tinggal lebih masa sejak 1 Jan boleh keluar tanpa senarai hitam, kompaun'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Warga asing yang berada di Malaysia secara lebih masa sejak 1 Januari lalu sehingga 14 hari bekerja selepas tamat perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh meninggalkan negara tanpa disenarai hitam atau dikenakan kompaun.

Jabatan Imigresen memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Jabatan Imigresen juga berkata urusan penyelarasan pas bagi warga asing yang tamat tempoh bermula 1 Februari lalu boleh dibuat dalam tempoh 30 hari bekerja selepas tamat PKP.

Untukk rekod, PKP yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu dijadual tamat pada 12 Mei ini, tapi ada kemungkinan penguatkuasaannya akan dilanjutkan.

Jabatan itu juga berkata, semua temu janji untuk perkhidmatan kaunter selain bahagian visa, pas, permit dan khidmat ekspatriat wajib menggunakan sistem temu janji online di pautan www.sto.imi.gov.my bermula 8 Mei ini.

"Urusan di bahagian keselamatan dan pasport pula tidak memerlukan temu janji," katanya lagi, sambil menambah perkhidmatan kaunter imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara hanya dibuka selepas PKP tamat.