Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis maut dilanggar Hilux pemandu disyaki mabuk di sekatan jalan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang pegawai polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Kajang meninggal dunia pagi ini selepas dilanggar oleh sebuah trak pikap.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu, Safwan Muhammad Ismail sedang menjaga sekatan jalan berhampiran plaza tol Kajang Selatan di Lebuh Raya Lekas.

Katanya, pemandu Toyota Hilux, yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol itu, gagal mengemudi kenderaannya dan merempuh sekatan jalan raya.

Mangsa, berusia 31 tahun berasal dari Perak.

"Laporan polis telah dibuat oleh penyelia sekatan jalan raya dan pemandu Hilux masih belum membuat laporan polis.

"Kertas siasatan telah dibuka dan Siasatan kes dijalankan di bawah Sek. 41(1) APJ 1987," katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Malaysiakini difahamkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazahnya dibawa ke Hospital Serdang, sementara suspek, yang berusia 40-an, juga sedang menerima rawatan di pusat perubatan sama.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.