Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Santhara puji Muhyiddin pantas buat keputusan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WAWANCARA |  Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara berkata corak kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membolehkan beliau untuk menguruskan negara dengan baik khususnya ketika mengendalikan isu wabak Covid-19.

Santhara (gambar judul, atas) membuat perbandingan antara Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, Dr Mahathir mengambil pendekatan diagnostik dalam membuat keputusan sementara Muhyiddin lebih terbuka untuk mendengar nasihat dan berfikir di luar kotak.

“Mahathir adalah pemimpin yang hebat dengan pengalaman selama bertahun-tahun. Kita tahu beliau dan (bekas timbalan perdana menteri) Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah doktor.

"Cara doktor berfikir berbeza. Pemikiran mereka tersusun, mereka akan mengikut aturan satu demi satu,” katanya.

“Pendekatan diagnostik ini bagus namun apabila mengendalikan isu pandemik Covid-19, semuanya mengenai kepantasan. Jika ia hanya berstruktur, akan ambil masa,” katanya menerusi wawancara bersama Malaysiakini dan KiniTV  pada Khamis lalu.

“Muhyiddin sedia mendengar nasihat, terutama dari pakar perubatan kesihatan awam,” kata Santhara sambil menambah perdana menteri turut melantik pengasas Mercy Malaysia Dr Jelimah Mahmood sebagai penasihat khas dalam isu kesihatan awam.

Sistem bijak menteri kluster 

“Muhyiddin ada ramai penasihat, maka ia akan membawa kepada keputusan yang bagus,” jelasnya.

Bagaimanapun Santara juga berkata, tidak adil untuk mengatakan Mahathir tidak boleh membuat keputusan yang baik berhubung wabak tersebut kerana pengerusi Bersatu itu sudah tidak lagi menyandang jawatan perdana menteri.

“Saya terkejut dengan tahap prestasi yang ditonjolkan perdana menteri (Muhyiddin Yassin), keupayaan dan kualiti kepimpinannya.

“Kita boleh lihat bagaimana beliau mengendalikan isu (pandemik Covid-19) dan ini merupakan waktu yang sukar untuk negara,” katanya.

Santhara yang juga MP Segamat berkata Muhyiddin sehingga kini tiada masa untuk mengambil cuti setelah masuk bertugas ke pejabat sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu.

“Saya hormati perdana menteri baru kerana beliau juga telah menafikan dakwaan (Perikatan Nasional sebagai kerajaan pintu belakang) dan meskipun yang dipilih untuk menjadi menteri kabinet mungkin bukan daripada pemimpin yang bagus tetapi kerajaan ini dengar keluhan rakyat dan memahami masalah mereka," katanya.

Menjelaskan lanjut, Santhata berkata Muhyiddin bertindak bijak dengan "mewujudkan sistem menteri kluster."

"Di mana ia akan meningkatkan penyampaian awam secara berkesan,” katanya lagi.

“Jadi dengan sedikit kesabaran dari masyarakat, saya rasa kita patut benarkan kerajaan ini untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Dulu menteri PH tak potong 2 bulan gaji

Jelasnya, rakyat boleh memberikan pendapat mengenai prestasi pentadbiran PN kemudian.

Muhyiddin dikritik sebelum ini, kerana merancang rampasan kuasa politik untuk menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Selepas mendapat sokongan daripada MP PKR yang berpaling tadah, anggota parlimen BN, PAS, GPS dan beberapa parti kecil, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pada 1 Mac.

Pentadbiran PN dilabel sebagai "kerajaan pintu belakang" oleh pembangkang dan beberapa kumpulan masyarakat sivil.

Ditanya sekiranya rakyat perlu mengabaikan kritikan bahawa PN adalah kerajaan pintu belakang, Santhara berkata: "Saya tidak akan mengatakan bahawa rakyat harus mengabaikannya.

“Itu adalah pandangan mereka dan hak mereka untuk berfikir (berkenaan perkara tersebut),” katanya.

“Jika PH ada 20 bulan (untuk memerintah) saya harap rakyat harus benarkan kerajaan ini sekurang-kurangnya 20 minggu untuk menyelesaikan isu tersebut dan bekerja untuk rakyat,” tambah Santhara.

“Perdana menteri turut mengumumkan bahawa semua menteri dan timbalan akan derma dua bulan gaji mereka ke tabung Covid-19,” katanya.

“Kenapa menteri dan timbalan menteri PH (dulu) tidak berjanji untuk mendermakan gaji mereka?

“Jika kamu tidak mampu berjanji untuk mendermakan dua bulan gaji, seperti apa yang kami lakukan, maka biarkan lah kami bekerja,” katanya.

“Ini bukan soal politik. Jangan kita berbahas berkenaan politk sekarang, kita akan bercakap berkenaan politik apabila kami hadir ke sidang Dewan Rakyat (pada 18 Mei),” katanya.

“Sekarang apa yang penting bagi kerajaan dan pembangkang adalah untuk berkhidmat buat rakyat,” tegas Santhara.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 pada 18 Mac lalu. Perintah tersebut juga telah dilanjutkan empat kali sehingga 12 Mei.

Muhyiddin juga telah mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan bermula esok, untuk menyelamatkan sektor ekonomi yang telah terkesan susulan wabak tersebut.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.