Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Noor Hisham: Buat laporan jika ada perniagaan tak patuhi SOP ketika PKPB

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Orang ramai boleh membuat laporan kepada polis atau Kementerian Kesihatan (KKM) jika mendapati ada perniagaan yang beroperasi tidak mematuhi garis panduan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, undang-undng dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 masih lagi berkuatkuasa di bawah PKPB dan tindakan boleh diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.

"Kalau ada pasar (basah) atau pasar raya tak patuhi SOP KKM, maka laporan boleh dikemukakan kepada polis atau pejabat kesihatan daerah.

"Siasatan akan dibuat dan jika benar (langgar SOP), tindakan akan dikenakan. Mungkin nasihat (dulu) atau kita boleh tutup (operasi)," kata Noor Hisham.

Beliau diminta mengulas berkenaan kunjungan media ke beberapa perniagaan di Lembah Klang hari ini, yang mendapati ramai yang telah menerima jumlah pelanggan yang ramai susulan pengumuman kerajaan bahawa PKP akan dilonggarkan bermula Isnin ini.

Perniagaan tersebut didakwa gagal memastikan penjarakan sosial antara pelanggan. Ia merupakan antara syarat yang ditetapkan KKM terhadap perniagaan yang akan menyambung semula operasi ketika PKPB.

Ditanya berkenaan keputusan kerajaan Sabah untuk memastikan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri itu menjalani kuarantin dua minggu sebelum dibenarkan pulang ke negeri masing-masing, Noor Hisham mempertahankan langkah itu.

Beliau berkata walaupun pelajar telah tinggal di hostel selama empat minggu, didapati tetap ada yang bercampur dengan orang di luar kampus.

"Ini antara sebab kenapa mereka perlu disaring semula dan (dikuarantin) untuk tempoh dua minggu," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM juga sedang berusaha meningkatkan perkhidmatan mereka kepada warga emas.

Ia termasuk rancangan penghantaran ubat ke rumah agar mereka tidak perlu keluar dan mendedahkan diri kepada risiko jangkitan wabak.

Noor Hisham berkata, warga emas perlu dilindungi daripada Covid-19 dan tidak seharusnya keluar rumah jika tidak perlu berbuat demikian.

"Mungkin untuk mereka yang berumur lebih 75 tahun, doktor atau warga KKM boleh beri rawatan di rumah. Kita kena lihat bagaimana boleh mantapkan perkhidmatan kita kepada warga emas," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

MY