Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tetap siasat artikel SCMP mengenai serbuan pendatang asing

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneruskan siasatan berhubung artikel disiarkan South China Morning Post (SCMP) tentang serbuan terhadap pendatang asing di kawasan sekitar Majid India pada 1 Mei lalu.

Ini meskipun Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tidak bertindak terhadap SCMP yang berpangkalan di Hong Kong. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed, berkata PDRM boleh mengambil tindakan sendiri untuk meneruskan siasatan dalam kes berkenaan.

“Kita pun boleh ambil tindakan.

“Malah, kita dah buka kertas siasatan pun,” jawabnya ringkas ketika disoal pemberita dalam sidang media bagi pergerakan antara negeri dalam tempoh PKP bersyarat (PKPB) di Bukit Aman hari ini.

Beliau ditanya apakah polis akan mencontohi SKMM yang tidak akan mengambil tindakan ke atas media berkenaan.

Salah seorang wartawan yang terlibat menulis artikel berkenaan memaklumkan di Twitternya bahawa dia dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman pada Rabu ini berhubung penulisan berkenaan.

Tashny Sukumaran yang merupakan koresponden SCMP, menulis serbuan pihak berkuasa ke atas ratusan pendatang asing di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Menara City One pada Hari Buruh lalu.

Artikel berkenaan disiarkan pada hari sama.

Ketiga-tiga bangunan itu berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Antara lain, artikel itu membangkitkan soal penjarakan sosial yang tidak diberi perhatian semasa penahanan dilakukan, dan turut memetik kenyataan aktivis bahawa ada kanak-kanak dan pelarian turut ditahan.

Saifuddin tengah hari tadi berkata beliau telah mengarahkan SKMM untuk tidak mengambil tindakan ke atas artikel SCMP itu.

Katanya, walaupun beliau mungkin tidak menyukai artikel berkenaan, beliau akan mempertahankan hak wartawan berkenaan untuk membuat laporan dalam artikelnya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.