Skip to main
Logo Malaysiakini

Azalina: Kritikan 'kerajaan pintu belakang' pada PN dah luput

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kira-kira tiga bulan lalu, tindakan sekumpulan ahli parlimen mengalihkan sokongan mereka kepada kerjasama Bersatu dan Muafakat Nasional menyaksikan kemunculan Perikatan Nasional (PN), sekali gus meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia 22 bulan.

Bagaimanapun pengkritik menganggap tindakan PN itu sebagai pembentukan "kerajaan pintu belakang" kerana ia mengetepikan mandat yang diberi rakyat melalui pilihan raya umum (PRU) pada 2018.

Namun pada pandangan anggota Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman Said, hujah tersebut tidak boleh diterima kerana kerajaan PN memang dibentuk selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya rasa mendakwa PN sebagai 'kerajaan pintu belakang' itu mengelirukan kerana ia adalah kerajaan yang sah. Ini telah dijelaskan oleh banyak pakar perlembagaan, termasuk Prof Shad Saleem Faruqi,” katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara melalui e-mel.

Anggota Parlimen Pengerang menjelaskan PH jatuh kerana pengunduran Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada 24 Februari dan disifatkannya sebagai "tidak dijangka".

"Dalam amalan demokrasi berparlimen, apabila seorang perdana menteri mengundurkan diri, kabinetnya pasti harus mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada pelantikan perdana menteri baru dan kabinet baru.

"Oleh kerana pengganti tidak dinamakan oleh perdana menteri ketujuh (Mahathir), Yang di-Pertuan Agong memikul tugas perlembagaan untuk melaksanakan budi bicaranya mengikut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Pengundi pilih individu, bukan parti

Pelantikan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai perdana menteri kelapan sejajar dengan Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a).

"Pada pendapat saya, kritikan masyarakat terhadap PN sebagai kerajaan pintu belakang adalah hujah yang 'luput' kerana perdana menteri kelapan adalah perlantikan mengikut perlembagaan," kata ahli politik yang pernah menjadi peguam itu.

Untuk rekod, lebih sedekad lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, juga pernah mengusahakan peralihan kuasa dengan membawa sejumlah ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat selepas PRU 2008.

Bagaimanapun langkah dijangka berlaku pada 16 Sept itu tidak menjadi kenyataan.

Ditanya mengenai pandangannya mengenai PN - yang terdiri daripada Bersatu, BN dan PAS serta disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) - akan dapat memberikan pilihan yang menarik buat pengundi pada PRU akan datang, Azalina berkata, buat masa ini ia merupakan gabungan tidak rasmi.

Katanya perjanjian bertulis rasmi yang menetapkan hak dan tanggungjawab parti gabungan sepatutnya menjadi agenda paling utama dalam mana-mana kerajaan gabungan.

“Pada pendapat peribadi saya, cara pemerintahan sebuah gabungan boleh menampilkan dirinya sebagai institusi kerajaan yang dapat dikenali oleh semua lapisan masyarakat akan menentukan kelangsungannya.

"Untuk menjadi 'pilihan menarik', ideologi dan manifesto bersama juga harus mengambil kira bahawa pengundi mungkin tidak lagi menganggap ideologi dibawa parti yang memimpin itu sebagai menarik.

"Ada kemungkinan juga pengundi dapat memilih calon individu berbanding calon berdasarkan parti pada masa depan,” katanya.

Surat pemimpin kepada pemimpin

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun enggan memberi komen mengenai kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang mendakwa kerjasama parti itu dengan Bersatu hanyalah untuk mengatasi krisis PH.

Diminta pandangannya mengenai ramalan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, bahawa PN akan runtuh sebelum PRU ke-15, Azalina memberikan jawapan sinis: "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Ong atas bakat terbarunya sebagai tukang tilik."

Jangkaan bahawa persefahaman dalam PN tidak akan bertahan dibuat ekoran beberapa perkembangan berlaku, termasuk rasa tidak puas hati Bersatu Johor berhubung isu tertentu, termasuk pengagihan jawatan lantikan politik.

Umno juga pernah mengutus surat kepada Muhyiddin untuk menuntut agar beberapa pemimpinnya diberikan kedudukan dalam agensi tertentu.

Kata Azalina, surat ditulis Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada perdana menteri itu tidak lebih daripada warkah hormat daripada seorang pemimpin parti kepada pemimpin parti lain.

Ditanya mengenai kewajaran kerajaan bertegas tidak membenarkan sidang Dewan Rakyat secara maya, Azalina berkata, ia tidak semudah yang disangka.

"Sebagai contoh, sidang parlimen secara mayat di UK dilakukan secara beperingkat. Tidak semua 650 ahli parlimen boleh hadir pada masa yang sama, isu peraturan mesyuarat dan pencelahan impromptu tidak dibenarkan.

"Jika kita mahu melaksanakan sidang maya, bolehkah Parlimen Malaysia terus bersidang dan melaksanakan fungsi asas perlembagaan?

"Menteri yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal parlimen sesuai untuk menjawab soalan ini kerana beliau mewakili kerajaan," katanya.

Azalina juga enggan mengulas spekulasi mengenai kemungkinan beliau akan dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan dari DAP, Nga Kor Ming.

"Saya percaya ia masih awal untuk saya ulas," katanya.

Dewan Rakyat dijadual bersidang pada 18 Mei ini namun ia mendapat kritikan pembangkang kerana berlangsung selama sehari saja ketika ada pelbagai isu yang perlu dibahaskan.

[Baca berita penuh]