Skip to main
Logo Malaysiakini

'Keruntuhan PH cukup surreal, aneh' - Dr Syed Husin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Sepanjang perjalanan hidupnya, veteran politik dan bekas ahli akademik, Dr Syed Husin Ali telah menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah, termasuklah perubahan kerajaan pada Mei 2018 apabila tumbangnya pemerintahan BN yang diterajui Umno selepas berkuasa selama 61 tahun.

Bagaimanapun, Dr Syed yang juga salah seorang ilmuwan pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata beberapa bulan kebelakangan ini beliau merasakan suatu pengalaman surreal (keanehan di luar realiti alam nyata), ekoran kejatuhan Pakatan Harapan, merebaknya wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Very surreal (cukup aneh), kerana perubahan kerajaan berlaku secara langsung disebabkan oleh peletakan jawatan tak kena masa oleh bekas perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) dan kemudian beberapa pengkhianat ambil peluang untuk membentuk kerajaan pintu belakang.

“(PN) ini bukan kerajaan yang stabil jika untuk mengadakan sidang (parlimen) lebih daripada satu hari pun, ia takut.

"Umno terutamanya, bukanlah memberi sokongan penuh kepada (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin). Tengoklah nanti sama ada ia akan kekal sampai PRU (pilhan raya umum) ke-15.

“Saya rasa Umno dan PAS pun tak melihat (untuk) bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15. Sesama mereka pun, akan berdepan masalah nak agihkan kerusi,” tambahnya lagi.

Menurut Syed Husin, kerajaan sekarang ada banyak masalah untuk ditangani terutamanya apabila pendapatan negara berkurangan dengan merudumnya harga minyak mentah dunia.

“Ada masalah ekonomi, politik, dan sosial. Kejatuhan harga minyak dan pasaran minyak sawit akan menjejaskan pendapatan negara. PKP telah sebabkan kehilangan pekerjaan yang signifikan.

“Ini adalah kerajaan yang mempolitikkan isu Melayu atau Muslim dan memingirkan bukan Melayu dan bukan Muslim. Masa depan agak tak menyakinkan,” katanya.


BACA Wawancara bahagian 1'PKP tiada apa-apa dibanding perang dunia, komunis, 13 Mei'


Bergerak ke hadapan, kata Syed Husin, rakyat Malaysia boleh mengambil beberapa pelajaran daripada pengalaman PKP.

“Salah satunya, perlunya untuk berdisiplin. Warga China dan Korea Selatan dah tunjukkan kepada kita cara untuk mengekang impak koronavirus.

"Rakyat Malaysia ni tak selalu bersikap berdisiplin, dan kita kena terus sentiasa berjaga-jaga.”

Ingkar PKP: Antara dua darjat

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak leka ketika negara sedang menuju ke PKP bersyarat (PKPB) dengan beberapa kelonggaran.

“Di Singapura, kadarnya membimbangkan dengan lebih 17,000 kes, kebanyakannya daripada pekerja asing. Kita ada berjuta pendatang asing, yang mungkin tak diuji dengan cukup. Jadi kita kena sentiasa berjaga-jaga.

“Saya rasa kita juga perlu sediakan persiapan lebih baik untuk petugas barisan hadapan kita, dalam aspek kelengkapan dan perlindungan. Kalau ada wabak di masa hadapan, kita kena lebih bersedia," jelas beliau.

Syed Husin turut menggesa supaya pelaksanaan undang-undang dilaksanakan secara adil kepada semua golongan, tanpa dilihat berbeza-beza antara dua darjat orang kenamaan dan rakyat biasa.

“Kalau kamu lihat sesetengah hukuman kerana ingkar PKP, ada yang macam berat sebelah.

"Satu untuk VIP, satu lagi yang lebih keras hukumannya untuk orang biasa. Ini tak boleh dibenarkan, mesti ada layanan setara untuk semua seperti tuntutan perlembagaan," katanya.

'Juara isu Rohingya tiba-tiba membisu'

Menyentuh sentimen antipelarian Rohingya yang semakin menjadi-jadi di media sosial, Syed Husin meminta rakyat Malaysia bersikap penyayang seperti yang ditonjolkan selama ini.

“Sedih apabila dengar orang bercakap dalam cara (seperti) tiada rasa simpati. Umno dan PAS dulu juara (dalam hal-hal sebegini), tetapi kini tiba-tiba membisu.

“Jangan tersilap. Orang Rohingya lari dari tanah air mereka kerana layanan buruk. Rumah mereka dibakar, mereka dinafikan kerakyatan, dan sebahagiannya dibunuh," jelas beliau.

Kata Syed Husin, melayan pelarian dengan sikap yang baik bukanlah bermaksud negara perlu mengabaikan aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya.

“Kita mesti perhatikan protokol kuarantin Covid-18 dan memantau sebarang ancaman kepada keselamatan.

"Tetapi mengatasi segala-galanya, kita mesti berperikemanusiaan. Apabila mereka datang kepada kita di laut, jangan halau mereka (balik ke lautan) untuk mati. Itu sangat kejam.”

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.