Skip to main
Logo Malaysiakini

PN: Tajuddin akui ada persaingan di akar umbi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mengakui wujud persaingan antara parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN) di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah berjaya mengemudi PN dengan baik terutamanya dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

Jelasnya, Umno bersama Bersatu membentuk kerajaan dengan satu matlamat yang sama menyingkirkan DAP dari Putrajaya.

"Suka tak suka kena lihat permasalahan ini, sebagai mana kata perdana menteri kestabilan politik kena ada, maka kena cari jalan untuk penyelesaian.

"Di bawah macam ada persaingan antara Umno, Bersatu dan PAS, sudah berlaku di kalangan pemimpin akar umbi, ada yang berebut jawatan peringkat kampung misalnya, jawatan ahli majlis kerajaan tempatan dan sebagainya.

"Di bawah (akar umbi), di situ terletaknya kekuatan parti, macam Umno kita ada banyak cawangan...kena adil beri ikut kedudukan kepada yang berhak," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Umno melalui Mufakat Nasional bersama PAS telah menyokong pemilihan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia kelapan.

Muhyiddin Yassin 

Walaupun menjadi seteru politik pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, Umno dan Bersatu kembali membentuk kerjasama bersama PAS, GPS dan MCA serta MIC bagi mewujudkan kerajaan PN.

Kerajaan PN terbentuk selepas krisis politik yang melanda negara Februari lalu apabila Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri dan Bersatu bertindak meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Kerjasama Umno dan Bersatu dalam PN sedikit bersama di Johor apabila pemimpin kedua-dua parti itu dikatakan tidak berpuas hati dengan agihan jawatan dalam kerajaan.

Umno Sabah pula menuntut perdana menteri supaya meletakkan pemimpinnya dalam kerajaan supaya dapat bersama dalam kewujudan PN.

‘Muhyiddin kemudi negara dengan baik’

Sementara itu Tajuddin berkata, sehingga kini Muhyiddin telah mengemudi negara dengan baik khususnya melalui beberapa dasar yang membela nasib rakyat.

Begitu juga tindakan pantas perdana menteri dalam menangani isu Covid-19 juga telah berjaya membuktikan keupayaannya memimpin negara.

"Setakat ini saya lihat perdana menteri telah menunjukkan kepimpinan yang baik kepada negara dan rakyat.

"Terutama dalam kita menangani isu Covid-19, kejayaan kita dalam menangani Covid-19 disanjung tinggi oleh dunia.

"Bahkan pakej rangsangan ekonomi juga bukan saja memastikan ekonomi kita mampu bertahan, tetapi pakej dibuat untuk membantu rakyat," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.