Skip to main
Logo Malaysiakini

Jumlah zon merah, zon hijau Covid-19 menurun pada Ahad

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Jumlah zon merah Covid-19 di seluruh negara semalam menurun kepada sembilan berbanding 10 kelmarin, manakala zon kuning bertambah daripada 58 menjadi 62.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan setakat 12 tengah hari semalam jumlah zon hijau juga menunjukkan penurunan menjadi 86 berbanding 89 pada Sabtu.

Perubahan berkenaan dicatatkan di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Sarawak.

Untuk rekod butiran perubahan jumlah zon semasa dibuat berdasarkan kes-kes aktif di sesebuah daerah.

Di Johor, ada dua zon merah dicatatkan pada Sabtu namun menurun menjadi satu saja apabila Johor Bahru mencatatkan penurunan kes aktif, daripada 46 menjadi 37.

Kluang pula kekal berada dalam zon merak dengan 67 kes aktif. Pada Sabtu sebanyak 70 kes aktif direkodkan di daerah berkenaan.

Di Negeri Sembilan, Seremban berada dalam zon merah apabila kes aktif yang direkodkan meningkat menjadi 45 berbanding 27 sehari sebelumnya. Peningkatan ketara itu dipercayai ada kaitan dengan kluster Sendayan yang mencatatkan 17 kes baru setakat tengah hari semalam.

Sementara itu di Selangor, status daerah Petaling berubah daripada zon merah menjadi zon kuning apabila jumlah kes aktif di situ berkurangan, daripada 43 menjadi 39.

Di Sarawak pula salah sebuah daerah hijaunya - Sibu - berubah menjadi kuning apabila ia mencatatkan satu kes aktif.

Secara keseluruhan di negeri tersebut mencatatkan dua zon merah, 11 kuning dan 27 hijau.

Menurut penjelasan Kementerian Kesihatan, zon hijau merujuk kepada daerah yang tidak mencatatkan sebarang kes aktif, manakala zon hijau mempunyai satu hingga 40 kes.

Bagi daerah yang mencatatkan 40 kes aktif atau lebih, ia dikategorikan sebagai zon merah.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.