Pengguna puas hati norma baru perkhidmatan pengangkutan awam
Sudah menjadi rutin harian Barry Aw Pang Kee sejak sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk menaiki LRT di Pasar Seni menuju ke tempat kerjanya.
Bagaimanapun, hari ini, Barry mengakui kekok dengan prosedur yang terpaksa dilalui bagi sampai ke destinasinya.
“(Terdapat penjarakan sosial) dan ada juga kena periksa suhu badan.
“Pelik kerana selalunya (waktu puncak) akan ada ramai orang dan penuh LRT tetapi gerabak tak penuh hari ini,” katanya yang merupakan seorang promoter (penjual) di sebuah pusat beli belah di kawasan Bukit Bintang.
Sementara itu, seorang eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat swasta, Syamimi Mohd Halimi turut mendedahkan bahawa dia berasa bimbang semalam kerana membayangkan situasi di perkhidmatan pengangkutan awam itu mungkin akan penuh seperti hari-hari biasa.
Tambahnya, dia turut keluar setengah jam awal bagi memastikan sampai ke tempat kerjanya tepat pada waktu.
“Semalam saya risau sebab hari ini akan ramai orang, harini saya keluar rumah pukul 7 pagi kerana kena masuk pejabat pukul 9.
“Sebelum PKP saya keluar pukul 8 pagi sebab kerajaan dah beritahu ada penjarakan sosial, jadi ikut logik semua akan beratur satu meter jauh tetapi tengok saya sampai terlebih awal pula kerana LRT dia sentiasa ada walaupun tak ramai boleh masuk dalam satu gerabak,” katanya.
Perasaan gusar itu turut dirasai oleh seorang eksekutif, Aw Yong Hui.
Bagaimanapun, Aw mengambil pendekatan untuk mengenakan penutup mulut dan hidung bagi menjaga keselamatan dirinya ketika menaiki pengangkutan awam itu.
“Saya pakai untuk keselamatan diri tetapi keadaan kerajaan juga menjaga keselamatan dengan melakukan periksa suhu badan, dalam gerabak juga ada penjarakan sosial, kena asing duduk satu kerusi.
“Saya harap dikekalkan, kalau begini, kita mungkin tiada masalah dan boleh kerja kembali,” katanya yang ditemui di LRT Pasar Seni.
Bermula hari ini, kebanyakan sektor ekonomi mula beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat, termasuk operasi pengangkutan awam.
Pengguna MRT puas hati
Sementara itu, seorang pengguna MRT yang menuju ke Muzium Negara, Chung Ro San berkata jumlah pengguna lebih sedikit berbanding pada hari sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP).
"Sebelum ini, kalau saya hendak naik kena tunggu tiga atau empat komuter lalu, baru dapat naik.
"Pagi ini, waktu puncak pun saya boleh kira berapa orang yang ada kat dalam, paling ramai pun dalam 20 orang," jelasnya lagi.
Bagaimanapun, terdapat juga pengguna kurang yakin dengan perlaksanaan PKPB yang bermula hari ini.
Pengurus latihan Karl James ketika menaiki MRT untuk ke Muzium Negara berkata dia ternampak ada tiga kanak-kanak ketika dalam perjalanan, yang menurutnya, tidak wajar.
"Saya naik MRT setiap hari. Tetapi sejak PKP, hari ini hari pertama saya nampak ada tiga kanak-kanak dalam komuter.
"Memang penjarakkan sosial itu ada buat masa ini. Cuma petang nanti kita tak tahu keadaannya bagaimana.
"Saya cuma berharap rakyat Malaysia patuh dengan arahan kerajaan untuk menjamin keselamatan semua," luah Karl James yang juga seorang pengurus latihan.
Tinjauan Malaysiakini di MRT mendapati stesen agak lenggang walaupun pada waktu puncak.
Rata-rata pengguna juga didapati mematuhi penjarakkan sosial yang ditetapkan di dalam komuter MRT seperti berdiri di atas tanda yang ditetapkan serta duduk dalam jarak satu meter antara satu sama lain.
Penumpang patuh arahan
Seorang pemandu bas RapidKL, Othman Mohd Zam yang ditemui Malaysiakini sekitar kawasan Pasar Seni menjelaskan bahawa keadaan terkawal meskipun pada waktu puncak.
“Tadi dalam pukul 8 hingga 9 pagi selalu ramai, tetapi hari ini tak ramai, penumpang juga patuh arahan bila saya suruh jaga jarak sosial,” katanya.
Tidak ketinggalan, seorang pekerja kedai minuman di LRT Pasar Seni, Muhamad Rabbain Mohd Zaki turut berkata hari ini dia sudah menerima pelanggan.
Bagaimanapun, dia memastikan pelanggannya mematuhi penjarakan sosial dan juga memakai topeng muka.
“Ketika buat pesanan, saya suruh mereka patuh penjarakan sosial untuk beratur dan pakai topeng muka.
“Pelanggan juga semua patuh,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan bahawa pihak perkhidmatan pengangkutan awam akan mengambil langkah pencegahan sewajarnya dalam menguruskan pengguna di stesen dan perhentian atau terminal.
Menurutnya, ia termasuk memastikan jarak selamat diamalkan, sanitasi tangan mudah diperoleh dan kerap menjalankan sanitasi di tandas awam, tempat duduk serta tempat yang sentiasa disentuh orang ramai.
"Pengguna pengangkutan awam diingatkan supaya mematuhi semua garis panduan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter selagi mana ia boleh dilaksanakan.
"Gunakan kaedah tanpa sentuhan ketika berurus niaga jika boleh," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai