Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kita semua ada anak. Dan ini anak dia'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

BELASUNGKAWA l  Saya diarahkan oleh Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin untuk mengiringi jenazah anggota kita, allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail yang terkorban semasa menjalankan tugas Ops Covid-19 di Kajang, semalam.

Lebih kurang jam 2.30 pagi, setelah semua prosedur di KKM diselesaikan, saya bersama konvoi meninggalkan Hospital Serdang mengiringi jenazah untuk ke tapak persemadian di Perak.

Dalam kejadian 2.11 pagi semalam itu, allahyarham, Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda.

Ia disyaki dipandu oleh seorang pemandu mabuk dalam kejadian berhampiran di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di Kajang itu.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Ops Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

Pada jam lebih kurang 5.30 pagi kami sampai di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak. Sebagaimana biasa, berlandaskan esprit de corps pasukan sahabat daripada IPK Perak sedia menunggu menghulurkan segala bantuan.

Apabila tiba di tanah perkuburan hati saya mula rasa sarat melihat keluarga dan adik adik arwah sudah sedia menunggu. Bapa kepada arwah, Sarjan bersara Mohd Ismail, (bekas anggota VAT69) juga ada di situ.

Tuan-tuan dan puan puan ada anak.

Saya ada anak. Kita semua ada anak. Dan ini anak dia.

Masa van jenazah sampai, beliau minta kebenaran utk menatap wajah anaknya yg telah kaku.

Untuk makluman, bapa arwah hanya dapat menunggu di Tanjung Rambutan kerana tidak dapat bersama di Hospital Serdang atas sebab kesihatan. Jenazah dah siap kafan di Hospital Serdang.

Sebagai seorang bekas anggota, amat tertib cara beliau bila bercakap dengan pegawai atasan.

Dia dah sakit, tapi digagahinya juga untuk bercakap sebagai seorang anggota yang meminta izin kpd pegawainya.

Saya benarkan.

Menitik air mata saya bila melihat beliau mengusap wajah jenazah anak beliau sambil bertasbih menguatkan semangatnya sendiri.

Sumpah... memang sebak betul.

Di samping itu saya tak tahu apa bauran rasa yang ada dalam diri beliau semasa saya serahkan Panji Sang Saka Biru.

Di bawah panji itulah beliau membesarkan sembilan orang anaknya dan di bawah panji itu jugalah seorang anaknya dikembalikan kpd Allah Azzawajalla.

Tetapi beliau masih lagi mendakap panji pasukan yang saya sampaikan dengan wajah yang berjuta rasa tu.

Akhirnya jenazah dikebumikan sewaktu azan subuh mula dilaungkan. Satu demi satu wajah bapa, ibu dan lapan orang adik beradik yang duduk dalam jarak sosial aya perhatikan. Wajah mereka masing masing menceritakan berjuta sayang dan rindu mereka kepada arwah.

Arwah kini menjadi satu bukti lakaran kesetiaan tugas kita kepada negara. Apa lagi bukti yang perlu dijadikan jika nyawa yg menjadi galang gantinya?

Beliau anggota biasa tetapi kematiannya luar biasa. Ketika ada antara kita yang sedang lena bersama keluarga, sedang arwah di medan menjemput mara.

Kepada arwah, kita sedekahkan bacaan Surah Al Fatihah. Semoga tenang dan damai di sana dalam pelukan rahmat Allah SWT dan semoga diterima sebagai seorang syuhada.

Kepada semua pejuang-pejuang Sang Saka Biru, kalau bukan kita siapa lagi?


DATUK FADZIL AHMAT adalah ketua jabatan siasatan jenayah Selangor

Surat ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.