Skip to main
Logo Malaysiakini

Wajarkah Mukhriz bangkit isu agihan kerusi PRU ketika ini, soal ahli MT Bersatu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman membidas timbalan presiden partinya Mukhriz Mahathir, mendakwa menteri besar Kedah itu bermain politik ketika kerajaan Perikatan Nasional sedang memfokuskan untuk menangani krisis ekonomi dan kesihatan akibat wabak Covid-19.

Muhammad Faiz merujuk kenyataan Mukhriz semalam yang menggesa Bersatu untuk bersama Pakatan Harapan sekali lagi.

Mukhriz berkata peluang terbaik Bersatu adalah bersama PH kerana parti itu perlu bersaing merebut sokongan pengundi Melayu, sama seperti Umno dan PAS pada pilihan raya umum akan datang.

"Sekarang cuba tanya rakyat biasa di bawah sana khususnya orang Melayu (kerana parti Bersatu bertanding di kawasan majoriti Melayu yang konservatif) adakah mereka kisah sama ada Bersatu atau Umno atau PAS yang paling berpengaruh dalam kerajaan sekarang?

"Atau adakah mereka lebih mementingkan penyatuan, kerjasama, toleransi dan persefahaman antara parti-parti berasaskan Melayu-Islam ini melalui suatu gagasan baru yang sedang dalam proses untuk dirasmikan iaitu Perikatan Nasional (PN)?

"Apakah wajar pada ketika kerajaan memberi fokus kepada isu kesihatan dan ekonomi negara sekarang ini kita perlu membicarakan soal pengagihan kerusi untuk PRU pula yang masih jauh ke hadapan?

"Ya sudah tentu ada suara-suara sumbang dari dalam, namun ia adalah lumrah kerana bukan mudah untuk memuaskan hati pihak-pihak yang berkepentingan politik," tegas Muhammad Faiz dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sekarang adalah waktu untuk parti politik Melayu Islam untuk melupakan sengketa masa lalu kerana permusuhan politik akan menyebabkan krisis negar alebih parah lagi.


BACA BERKAITAN: Bersatu tiada pilihan lain lagi


Perpecahan besar berlaku dalam Bersatu selepas presidennya Muhyiddin Yassin menarik parti itu keluar daripada gabungan parti pemerintah PH yang berkuasa sehingga pada akhir Februari.

Bersama bekas MP PKR yang berpaling tadah, Muhyiddin bergabung dengan Umno dan PAS untuk membentuk PN.

'Dr M letak jawatan PM tanpa dipaksa'

PN kemudian mengambil alih kekuasaan di Putrajaya apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia. Bekas perdana menteri Dr Mahathir dan Mukhriz menentang keputusan Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH.

Sementara itu, Muhammad Faiz juga menegaskan bahawa perubahan kerajaan sebenarnya tercetus apabila Dr Mahathir berhenti sebagai perdana menteri.

"Hakikatnya kerajaan Malaysia hari ini tidak terjadi secara tiba-tiba. Ia bertitik tolak dari perletakan jawatan Mahathir selaku perdana menteri dan juga selaku pengerusi Bersatu tanpa dipaksa pada 24hb Februari 2020.

"Bukan lagi rahsia selama Mahathir menjadi perdana menteri buat kali kedua itu, beliau sering diasak oleh beberapa pemimpin dan penyokong dari parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim yang telah diwar-warkan sebagai 'PM sedang menunggu' atau 'PM8'," kata Muhammad Faiz lagi.

Selepas Muhyiddin umum Bersatu keluar PH, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu mendorong kejatuhan kerajaan yang diterajuinya. Bagaimanapun, peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi Bersatu ditolak pimpinan parti itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.