Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki OKU dikhuatiri hilang sejak Jumaat ditemui selamat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki kurang upaya (OKU) mengalami masalah mental yang dikhuatiri hilang di ladang kelapa sawit di Kampung Panchur Merah Jumaat lepas ditemui dalam keadaan selamat pada 9.40 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Zull Azman Jamaludin berkata mangsa Mohd Syukri Awang, 41, dijumpai kira-kira lapan kilometer daripada tempat terakhir mangsa dilihat sebelum ini.

“Mangsa ditemui oleh orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat. Ketika itu mangsa dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah.

“Mungkin disebabkan mangsa telah biasa dengan keadaan di hutan… itu yang membolehkan dia bertahan tanpa mempunyai sebarang bekalan makanan sejak mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zull Azman berkata mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar pulang ke pangkuan keluarga.

Kehilangan Mohd Syukri disedari ibunya apabila dia tidak pulang selepas keluar rumah pada pukul 4 petang Jumaat lepas.

- Bernama