Skip to main
Logo Malaysiakini

Corat-coret 47 hari PKP dari pembaca Mkini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menjelang esok, kehidupan harian bagi ramai rakyat Malaysia mungkin akan berubah secara drastik. Pada 4 Mei, hampir semua sektor akan dibenarkan beroperasi. Bagi pekerja sektor-sektor tersebut, ini menandakan tamatnya tempoh 47 hari duduk di rumah.

Sejak 18 Mac, kebanyakan rakyat Malaysia hanya boleh keluar untuk membeli barangan keperluan asas, dan itu pun tidak boleh secara berkumpulan dan hanya sekitar 10km dari rumah.

Ia memberi impak buruk kepada pendapatan. Mereka yang bergaji hari terputus sumber pendapatan manakala ramai juga yang hilang pekerjaan apabila syarikat terpaksa gulung tikar.

Namun, di sebalik kesusahan yang dihadapi, rakyat Malaysia  berjaya mencari jalan untuk menempuhi tempoh yang mencabar ini.

Bulan lalu, Malaysiakini meminta para pembaca untuk berkongsi gambar yang menunjukkan kehidupan mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikut antara hantaran yang diterima. Kami menyiarkan hantaran mereka dalam bentuk esei foto sebagai rekod tempoh luar biasa ini dalam kehidupan kita. 

Mencari cara lain untuk bercakap dengan isteri

Yew Jin Kang

Isteri saya meninggal dunia September lalu. Jadi sejak itu, saya ‘melawatnya’ setiap hujung minggu di columbarium, iaitu tempat abu mendiang disimpan. Setelah PKP, saya berasa sedih kerana tidak dapat lagi melawatnya.

Namun PKP bermaksud saya mempunyai masa lapang yang lebih, jadi saya memesan sebuah gitar dari Lazada. Setiap hari dalam beberapa minggu ini, saya memainkan sebuah lagu untuknya.

Tangkap layar video yang dimuat naik ke Youtube oleh Yew Jin Kang. Dia memainkan lagu untuk isterinya yang meninggal dunia September lalu. 
0
 Advanced issue found
 

Lahirnya seorang penulis

Shasmeen Sheza, Shah Alam

Umur saya sembilan tahun dan saya telah menulis beberapa buah buku. Saya telah terbitkan buku pertama saya dan menjualnya di Amazon dan Lazada pada tempoh PKP ini. Buku saya bertajuk ‘First Term at Brass Towers’. Saya mengambil masa kurang sebulan untuk menulisnya.

Ayah saya merupakan inspirasi untuk buku ini. Sebelum PKP, dia membawa saya ke Perpustakaan Shah Alam setiap bulan. Setiap kali ke sana, saya akan meminjam 10 buah buku. Semasa PKP, saya juga membaca buku elektronik.

Salah satu motivasi saya untuk menjual buku saya adalah bagi membantu mereka yang memerlukan makanan dalam tempoh ini. 

Shazmeen Sheza, 9, bersama buku pertamanya yang ditulis dalam tempoh PKP. 

Menjadi sukarelawan badan kebajikan

Kelvin Cheah, Kuala Lumpur

Lahir perasaan ingin membantu selepas saya membaca sebuah artikel di Malaysiakini berkenaan sebuah badan kebajikan yang membantu golongan pelarian. Lalu saya menghubungi PichaEats untuk memberi derma.

Namun Suzanne dari PichaEats memberitahu mereka sebenarnya memerlukan bantuan untuk membuat dokumentasi berkenaan aktiviti mereka. Maka saya menawarkan perkhidmatan untuk mengambil gambar. Saya rasa bertuah kerana dapat memainkan peranan kecil dalam membantu PichaEats. 

Kami ke banyak hospital, klinik, rumah warga emas dan ibu pejabat polis untuk menghantar makanan. Saya dapat lihat secara langsung kepenatan yang terukir di wajah semua petugas barisan hadapan. Keletihan dalam pandangan mata mereka masih jelas dalam minda saya sehingga hari ini. 

Keadaan sama di rumah warga tua juga, dan saya boleh lihat keadaan pasrah pada wajah pengurusnya. Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa dalam tragedi ini, mereka tetap berasa gembira dan berterima kasih atas bantuan dari sukarelawan PichaEats. 

Kami berasa bangga menjadi rakyat Malaysia. Saya harap Malaysia akan dapat bangkit semula daripada keadaan ini dan kita semua akan menjadi lebih bertimbang rasa dan akan lebih membantu satu sama lain selepas ini.

Ketika menjadi jurugambar sukarela untuk PichaEats, Kelvin Cheah melihat sendiri cabaran yang dihadapi petugas barisan hadapan di hospital, rumah warga emas dan ibu pejabat polis.
0
 Advanced issue found
 

Berlatih untuk Abilympics

Abilympics Malaysia 

Abilympics merupakan sebuah pertandingan kemahiran bagi orang kelainan upaya. Peserta dari Malaysia akan mewakili negara pada pertandingan Abilympics ke-10 di Rusia tahun depan. 

Di bawah PKP, para peserta Abilympics cuba untuk terus berlatih di rumah. Video di bawah menunjukkan Amran Hadi, 41, seorang ayah kepada dua cahaya mata dan peserta kategori Silk Hand Painting.

Tangan Amran yang istimewa tidak menghalangnya untuk menghasilkan lukisan batik di masa lapang, sambil dia bekerja sebagai pembantu pegawai kebajikan.

Sukar untuk Amran berlatih, bekerja dan meluangkan masa dengan keluarga ketika tempoh PKP ini. Dia juga berdepan kesukaran untuk mendapatkan keperluan untuk seni batik, kerana semua kedai peralatan seni tutup.

Belajar menari dengan jari

Victor Tiong, Klang

Saya mula belajar tutting setelah terjumpa sebuah video berkenaannya. Ketika itu saya mencari video tutorial menari sebagai senaman di rumah semasa PKP. Tutting adalah tarian menggunakan jari. 

Pada mulanya saya cuba mencari tutorial untuk tarian yang menggunakan pergerakan kaki seperti kumpulan tarian Running Man. (Ha! Seorang lelaki berumur lebih 40 tahun cuba menari seperti Running Man!) Selepas melihat video tutting, saya nekad untuk mencubanya. 

Ini merupakan gambar daripada video pertama tutting yang saya rakam, hanya beberapa hari selepas mula belajar. Boleh tahan! Sejak itu, saya terus bertutting.

Victor Tiong belajar tutting - tarian yang melibatkan pergerakan jari.

Menjemur duit

Haley Lim, Petaling Jaya

Tindakan menjemur duit mungkin tidak akan membunuh virus tapi ia memberikan saya ketenangan. Saya berbuat demikian sebelum saya mula menggunakan e-dompet. 

Bagi saya, ini adalah perkara paling pelik yang saya lakukan dalam tempoh PKP ini. Ia sesuatu yang akan kekal dalam memori.

Haley Lim menjemur wang kertas miliknya kerana risau ada virus yang 'hinggap' di sana

Memberi terapi kepada anak

Noraza Yusuf, Kuala Lumpur

Saya meluangkan PKP dengan anak saya yang mengalami autisme dan tidak boleh bercakap.

Disebabkan PKP, pakar terapinya tidak dapat datang ke rumah kami, maka saya mengambil alih tugas itu. Pada mulanya ia sesuatu yang sangat mencabar, tetapi kini ia lebih mudah. Pengalaman ini sangat berharga. Kini, saya ibunya dan juga ahli terapi buatnya.

Mesyuarat kerja di dapur, memakai blazer, tali leher...dan seluar pendek

Pukalenthi T, Puchong

Dalam kehidupan ‘normal’ saya sebelum PKP, saya akan bertemu dengan 70 hingga 80 usahawan setiap minggu untuk sesi networking dan mesyuarat berkenaan kolaborasi. Saya juga akan bertemu pelanggan setiap hari.

Dalam kehidupan ‘norma baru’, saya masih tetap bertemu dengan 70-80 usahawan tersebut tapi melalui telesidang. Kami ‘bertemu’ setiap minggu, tanpa gagal. PKP juga tidak mengganggu komunikasi harian dengan pelanggan dan pekerja saya.

Pukalenthi T ketika bermesyuarat menerusi telesidang di dapur

Berkhemah di ruang tamu

Mac, Johor Bahru

Inilah aktiviti keluarga saya serta anjing peliharaan kami semasa PKP. Keluarga kami gemar mengembara. Kami berharap PKP akan ditamatkan supaya kami boleh kembali mengembara.

Keluarga Mac cuba meredakan kerinduan mereka untuk mengembara dengan berkhemah dalam rumah
0
 Advanced issue found
 

Memori basuh kereta ayah dan anak

Amanda Christine, Papar

Ini adalah suami saya dan anak kami yang berumur 4 tahun. 

Ini cara mereka menempuhi PKP. Mereka akan mencuci kereta hampir setiap hari walaupun kereta kami bersih-sebersihnya. Dengan cara ini mereka boleh bermain air tanpa sebab. 

Ia hanya alasan untuk berbuat sesuatu tapi pada masa sama mereka juga membina memori bersama. 

Berbudi kepada tanah

Ramai pembaca yang jatuh cinta pada aktiviti berkebun dalam tempoh PKP ini. Berikut antara hantaran yang bertemakan berbudi kepada tanah:

Gambar ini dihantar oleh Mohamad Hishammudin. “Selalunya, sesuatu yang besar bermula dengan sesuatu yang kecil. Kalau boleh saya ingin berkebun sepanjang hari,” katanya.

“Saya mula berkebun pada hari pertama PKP. Kini, 40 peratus sayuran yang kami makan datang dari laman sendiri dan kami hanya ke pasar seminggu sekali,” kata CK Yong dari Kuching. 

Hidup dikelilingi kotak

Vishitra Manikam, Kuala Lumpur

Saya sepatutnya berpindah rumah tapi rancangan tergendala. Maka saya kini hidup dengan 95 peratus barang kepunyaan terperangkap dalam kotak.

Tinggal di studio berkeluasan 800 kaki persegi, saya hanya boleh bergerak sedikit saja. Saya telah buka beberapa kotak dan terpaksa membeli beberapa barangan keperluan, walaupun saya tahu barang tersebut tersimpan dalam salah satu kotak ini. Menjengkelkan, tapi kadang-kala lucu juga. 

Visithra Manickam hidup dikelilingi kotak kerana dia telah berkemas untuk pindah rumah sebelum PKP dikuatkuasakan. 
0
 Advanced issue found
 

Kembali pada muzik

E Juno

Saya selalunya tiada masa untuk berlatih bermain muzik. Ada banyak alasan saya dan lama-kelamaan jari-jemari tidak lagi rasa perlu memegang instrumen.

 Semasa PKP, perasaan itu kembali. Saya ulangi nota-nota muzik yang sama berkali-kali. Nampaknya, tempoh PKP ini adalah masa untuk saya menghidupkan kembali jari-jemari dengan alunan muzik. 

E Juno kembali memegang instrumen muziknya

Menghargai hidupan liar di laman rumah

Dougie Cameron, Kuala Lumpur

Saya menggunakan masa di rumah untuk menghargai sesuatu yang selama ini memang di depan mata, iaitu keindahan alam sekitar di Malaysia.

Saya seorang warga British yang bertuah kerana dapat tinggal di Kuala Lumpur. Sebelum PKP, saya terlalu sibuk dengan aktiviti harian. Saya tidak nampak mahkluk-makhuk indah yang tinggal bersama kita di negara ini.

Kini, saya cuba meluangkan masa sekurang-kurangnya satu jam setiap hari bersama kamera di laman saya. Ada hari saya akan nampak banyak burung dan binatang, hari lain satu pun tak nampak. Namun, saya menghargai setiap saatnya.

Dougie Cameran menggunakan PKP untuk menghargai hidupan liar di halaman rumahnya

Langit dan lautan lebih biru dari dulu

Toh Leong

Semasa PKP, saya tinggal seorangan. Saya sering duduk di satu sudut rumah dan melihat ke arah lautan.

Langit dan laut nampak lebih biru berbanding dulu. PKP menjadikan aktiviti manusia berkurangan. Setiap petang, warna langit nampak lebih menakjubkan semasa matahari mula terbenam. Minggu lalu saya nampak enam ekor penyu timbul tenggelam di lautan. Mungkin dengan kurangnya pencemaran, mereka akan singgah untuk bertelur. Siapa tahu?

Toh Leong nampak penyu di lautan. Katanya, laut nampak lebih biru semasa PKP.

Vaisakhi kecil-kecilan

Jaspal Singh, Kuala Lumpur

Tahun Baru Vaisakhi, yang jatuh pada 14 April, adalah sambutan paling penting buat penganut Sikh. Tahun ini, Jaspal Singh dan keluarganya menyambut kecil-kecilan dengan hidangan barbeku di rumah. 

Belajar dan bermain di rumah

Tempoh PKP amat mencabar bagi kanak-kanak. Mereka tidak dapat pergi ke sekolah dan tidak dapat bertemu rakan-rakan untuk bermain di luar. 

Berikut beberapa hantaran yang menunjukkan bagaimana kanak-kanak menghadapi tempoh ini. 

Anak perempuan Tony Wong akhirnya dapat membawa mainan kegemarannya ke sekolah - tapi sekolah itu adalah sekolah atas talian.

Akibat tidak dapat keluar rumah, anak-anak Ian Chai membina kereta daripada kotak untuk bermain bersama-sama.

Anak-anak saudara Najwa Hanna menjadi “frontliner cilik” untuk menyambut hari jadi ibu mereka.

Bila dunia sudah terbalik, cuba yoga

Miz Malyn

Saya suka bersenam terutama berlari dan membuat yoga. Tapi apabila PKP bermula, saya perlu bekerja dari rumah. Ini bermakna tiada lagi berlari di luar, dan komputer riba jadi teman setia di tepi katil.

Namun pada 18 April, saya menyertai sebuah acara berlari di dalam rumah yang dinamakan Komy Ultra Challenge 12 Hours.

Saya juga cuba kembali melakukan yoga, terutamanya gaya ‘terbalik’ (upside down) sebagai simbolik hidup saya dalam PKP - kadang kala okey, kadang kala tidak. 

Miz Malyn cuba membuat yoga dan berlari di dalam rumah untuk menenangkan rindu bersenam di luar
0
 Advanced issue found
 

Tiada padang golf buka? Tiada masalah

Walaupun semua padang golf tidak dibuka, Eric Yong telah menjumpai cara untuk melepaskan giannya.

Walaupun kebanyakan kita terpaksa duduk di rumah, ramai juga yang bekerja tanpa lelah di barisan hadapan. Berikut adalah beberapa hantaran daripada pekerja barisan hadapan. 

“Kami bukan adik-beradik mahupun kembar. Terjumpa tanpa sengaja semasa penugasan PKP,” kata pegawai polis Rosdey Jais.

“Kami frontliner pasukan bantuan perubatan untuk Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa. Tiada gaji, hanya ada hati,” kata mereka. Mereka ingin dikenali sebagai Dr Akmal, Dr Kavita, Aini, Leonard dan Guna.