Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki Myanmar cedera parah ditikam rakan bertubi-tubi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang lelaki warga Myanmar cedera parah selepas ditikam rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah rumah yang dijadikan asrama pekerja kilang warga asing di Jalan Bukit Minyak, di Bukit Mertajam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata dalam kejadian 5.30 petang itu mangsa berusia 26 tahun berkenaan cedera di bahu sebelah kiri akibat ditikam rakannya berumur 24 tahun selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

"Menurut rakan serumah mereka yang juga saksi kejadian, dua lelaki itu pada mulanya bertengkar sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek mengambil sebilah pisau dan menikam mangsa bertubi-tubi. Dia (saksi) bagaimanapun berjaya meleraikan pergaduhan tersebut.

"Suspek yang melihat rakannya cedera bertindak melarikan diri manakala mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan. Dia dirawat di Unit Rawatan Rapi serta dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan, di Bukit Mertajam malam ini.

Beliau berkata polis merampas sebilah pisau digunakan dalam kejadian itu dan usaha memburu lelaki Myanmar berkenaan yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang giat dijalankan.

- Bernama