Skip to main
Logo Malaysiakini

F&N jangka permintaan rendah pada separuh kedua 2020

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan permintaan yang rendah bagi separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 September, 2020, terutamanya untuk produk minumannya kerana pengguna akan menyesuaikan diri dengan kebiasaan baru (normal baru) iaitu aktiviti sosial yang berkurangan.

Pengerusinya Tengku Syed Badarudin Jamalullail berkata susulan kepad banyak ketidaktentuan akibat krisis Covid-19 masih lagi berlarutan, konglomerat itu tetap positif kerana asasnya yang kuat, lembaran imbangan yang kukuh dan portfolio jenama yang kukuh.

"Kami akan terus melaksanakan inisiatif pengoptimuman kos untuk memberikan kecekapan dan penjimatan serta melabur semula dalam jenama kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Syed Badarudin berkata kumpulan itu telah lindung nilai sebahagian daripada keperluan bahan mentahnya menjelang tahun kewangan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga input susu tertentu.

Selain itu, F&N memperkuatkan perniagaannya agar bersedia ketika aktiviti ekonomi kembali normal dan permintaan pengguna pulih semula.

Untuk suku kedua yang berakhir pada 31 Mac, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM102.17 juta, merosot daripada RM104.42 juta direkodkan pada tempoh yang sama sebelumnya.

Perolehan susut 1.9 peratus menjadi RM1 bilion berbanding RM1.02 bilion, disebabkan oleh kesan buruk akibat Covid-19 dan langkah kawalan pergerakan terhadap permintaan pengguna.

Sejajar dengan prestasi kumpulan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 27.0 sen sesaham (2019: 27.0 sen) untuk tahun kewangan tersebut, berjumlah kira-kira RM99.0 juta dan akan dibayar pada 12 Jun, 2020.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.