Skip to main
Logo Malaysiakini

Kawasan di Selayang, sekitar Chow Kit dikenakan PKP Diperkasakan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan
  • Dikemas kini dengan istilah lebih tepat.

Dua kawasan di Selayang dan Pasar Jalan Raja Bot (dahulu dikenali sebagai Pasar Chow Kit) di Kuala Lumpur hari ini dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) Diperkasakan.

Sumber Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) berkata kedua-dua kawasan itu kini diletakkan bawah perintah PKP diperkasakan dan bukannya perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Boleh keluar masuk tapi keselamatan diperketatkan sikit,” kata sumber itu.

Sebelum itu, seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kepada Malaysiakini  bahawa Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang, serta Jalan Raja Bot berhampiran pasar Chow Kit dikenakan perintah itu bermula antara lewat malam tadi hingga awal pagi ini.

Penduduk di kawasan itu mula memuat naik hantaran berkenaan perintah itu  media sosial awal pagi tadi, dengan video menunjukkan pihak berkuasa menutup kawasan itu dengan kawat duri.

Semalam Menteri Kanan (kluster keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD di beberapa kawasan di Selayang Baru dan Bandar Baru Utara akan dilanjutkan.

Kementerian Kesihatan pula berkata pasar Chow Kit menjadi kluster baru Covid-19 terbesar, dengan 16 kes daripada penularan tempatan.

Pemeriksaan di kawasan itu mendapati kawat duri telah di pasang di pasar tersebut, yang terletak di Jalan Raja Bot, serta di jalan sekitar Jalan Raja Alang dan Jalan Haji Hussein.

Terdahulu, DBKL telah menutup Pasar Jalan Raja Bot pada 28 April hingga 13 Mei bagi menjalankan kerja pembersihan setelah penularan Covid-19 di situ.

Semalam, terdapat 16 kes positif di kawasan itu, menjadikan jumlah meningkat kepada 44 kes.

Sejumlah hotel dan lot kedai di kawasan yang dikenakan PKP diperkasakan itu tetapi tidak pasti adakah premis tersebut terjejas ekoran ia boleh dikunjungi penduduk di situ melalui jalan-jalan kecil.

Sebuah kuil Sikh, Guru Nanak Darbar Tatt Khalsa Diwan Gudwara turut termasuk dalam kawasan itu.

Bagaimanapun kawasan perniagaan dan penduduk di sekitar pasar tidak terjejas dengan kedai runcit dan borong dibuka seperti biasa.

Seorang penduduk berkata dia tidak pasti sama ada langkah itu, jika ia dikuatkuasakan untuk mengadakan ujian terhadap pekerja asing di pasar itu, akan berjaya atau tidak.

"Saya masih terjaga sekitar pukul tiga pagi tadi dan merakamkan pemasangan kawat. Beberapa pekerja asing dilihat keluar dari kawasan itu sebaik (polis dan tentera) tiba," katanya.

Seorang lagi penduduk memberitahu Malaysiakini bahawa anggota keselamatan hanya membenarkan orang masuk ke kawasan Chow Kit dari Jalan Raja Alang jika mempunyai tujuan tertentu sahaja.

Polis juga dikatakan menghalang dua kakitangan akhbar Malaya Samachar untuk masuk ke pejabat di Jalan Raja Alang, walaupun telah menunjukkan surat kebenaran untuk keluar bekerja.

"Kami datang untuk bekerja tetapi dihalang masuk ke kawasan, kata editor Malaya Samachar, Bhupinderjit Kaur ketika ditemui.