Skip to main
Logo Malaysiakini

'Mesyuarat MKN negeri - pusat bincang PKPB gagal capai kata sepakat'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 April lalu antara kerajaan negeri dan pusat berhubung sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semula gagal mencapai kesepakatan.

Dalam satu kenyatan media hari ini, ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata,  Putrajaya seharusnya mengadakan mesyuarat kedua dengan ketua menteri dan menteri besar sebelum melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), bagi membolehkan kebanyakan perniagaan beroperasi semula, pada 4 Mei.

"Perkara inilah yang sepatutnya dilakukan Azmin sekarang, bukannya mengeluarkan ugutan tindakan undang-undang yang bukan-bukan semalam," katanya.

Ketika berita ini ditulis, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas berhubung dakwaan Lim itu. Usaha sedang dibuat untuk mengesahkannya dengan kerajaan negeri.

Perlu juga dinyatakan bahawa Chow Kon Yeow, ketua menteri Pulau Pinang, adalah anggota kanan DAP.

Lim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, bahawa kerajaan negeri kemungkinan berdepan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak industri jika ekonomi tidak dibuka semula di bawah PKPB.

Semalam, Azmin selaku menteri kanan ekonomi berkata keputusan kerajaan persekutuan membuka semula ekonomi adalah sah dari segi undang-undang.

Katanya, jika kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

Sebelum ini adalah dilaporkan, enam negeri tidak akan membuka semula sektor ekonomi masing-masing pada 4 Mei dan akan meneruskan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Negeri-negeri berkenaan adalah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah.

Mengulas lanjut, Lim berkata, ugutan Azmin berhubung keengganan beberapa kerajaan negeri untuk mematuhi PKPB adalah bukti ketiadaan pendekatan melibatkan “kerajaan secara menyeluruh”.

"(Ini) merupakah satu contoh ‘rancangan keluar’ kerajaan yang huru-hara, apabila tangan kanan tidak tahu apa yang sedang dilakukan tangan kiri.

"Jelas sekali Azmin tidak memahami Perlembagaan Persekutuan. Beliau perlu memberikan perhatian kepada kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Persekutuan-Negeri Parlimen, Hassan Abdul Karim, yang menyatakan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri diberikan kuasa secara bersama dalam perkara berkaitan kesihatan di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut Lim, perkara berkaitan kesihatan awam dan kawalan penyakit termaktub di bawah Senarai Bersama yang bermakna kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini.

Setakat ini, kerajaan hanya bertindak seakan-akan mereka sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk negara, sedangkan jelas sekali, era kerajaan yang arif pada semua hal ini telahpun berlalu," katanya.

Semalam, ahli parlimen Pasir Gudang,  Hassan Abdul Karim turut tidak bersetuju dengan kenyataan Azmin tersebut.

Katanya, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sama-sama mempunyai kuasa berhubung kesihatan awam dan pencegahan penyakit, di bawah perlembagaan persekutuan.