Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPB: Tiada konflik dengan pusat - exco Selangor

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Exco Selangor Teng Chang Khim berkata tiada konflik dengan kerajaan pusat dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Katanya, kerajaan Selangor sebenarnya mengamalkan PKPB dengan mengenakan

syarat tambahan demi melindungi kepentingan rakyat.

"Tidak terdapat konflik atau ketidakselarasan dalam penguatkuasaan serentak PKPB dan syarat tambahan yang dikenakan oleh kerajaan negeri melalui kerajaan tempatan.

"Pada hal, kedua-dua PKPB dan Akta Kerajaan Tempat harus dibaca secara harmoni untuk memastikan keberjayaan melindungi rakyat daripada dijangkiti kononavirus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, syarat tambahan diputuskan sebagai langkah pendaratan lunak (soft landing) sebelum PKP atau PKPB dimansuhkan.

"Oleh itu tidak ada sebab untuk kerajaan membuat keputusan yang boleh memudaratkan keselamatan, kesihatan atau kebaikan mana-mana sektor.

"Kerajaan negeri telah pun berbincang secara mendalam sebelum mengumumkan syarat tambahan selain daripada SOP yang disyaratkan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Asas pertimbangan bukanlah pilihan di antara nyawa dan ekonomi tetapi pertimbangan tuntas adalah untuk mengimbangi keselamatan nyawa dan saraan hidup," katanya.

Selangor antara sembilan negeri yang tidak mengamalkan penguatkuasaan PKPB secara keseluruhan yang bermula semalam.

Selain tidak membenarkan semua sektor ekonomi untuk beroperasi, negeri itu juga melarang pelanggan makan di restoran.

Sementara itu, Adun Sungai Pinang itu berkata bahawa bidang kuasa negeri membenarkan kerajaan negeri untuk membuat syarat tambahan.

Menurutnya, apabila Selangor memutuskan untuk mengenakan syarat tambahan dan menunda beberapa aktiviti yang dibenarkan PKPB, kerajaan negeri sebenarnya bertindak mengikut bidang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.

"Adalah amat jelas bahawa Perenggan 4, Senarai Negeri, Jadual Sembilan, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan tempatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sementara di bawah Senarai dalam Jadual yang sama, kesihatan awam, sanitasi dan pencegahan penyakit adalah di bawah bidang kuasa bersama kerajaan persekutuan dan negeri.

"Pada masa yang sama, seksyen 9(1) Akta Kerajaan Tempatan juga memperuntukkan bahawa pihak berkuasa negeri boleh memberi arahan dasar kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan hal yang menyentuh kepentingan kawasan pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan hendak melaksanakan semua arahan berkenaan," katanya.

Tambah beliau Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan memperuntukkan bahawa pihak berkuasa tempatan berkuasa melindungi dan mempromosikan kesihatan awam dan mengambil langkah perlu, munasabah dan praktikal untuk mencegah wabak penyakit.

Seksyen sama, katanya lagi, membenarkan pihak berkuasa tempatan mencegah kejadian atau keadaan yang mungkin memudaratkan atau membahayakan kesihatan.

"Kerajaan negeri Selangor percaya bahawa sektor industri dan perniagaan yang mungkin sedikit terjejas dengan syarat tambahan yang dikenakan oleh kerajaan tempatan,” katanya.

Tetapi, katanya ia adalah untuk berkongsi keprihatinan dan pemahaman tentang tanggungjawab sosial bersama untuk melindungi rakyat daripada virus yang amat merbahaya tersebut.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.