Skip to main
Logo Malaysiakini

Percayalah, perjalanan saya tak mudah - Azalina

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Azalina Othman Said dilantik sebagai ketua penaja Puteri Umno pada 2001, ketika tempoh pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sejak itu, Azalina yang memulakan kerjaya sebagai peguam itu mendaki kedudukan dalam Umno dan juga kerajaan.

Sebelum BN tewas buat kali pertama dalam PRU ke-14, Azalina, 58, memegang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno mengakui kesukaran untuk wanita berjaya dalam dunia politik negara.

"Percayalah, secara peribadi ia bukan perjalanan yang mudah untuk saya," katanya dalam wawancara menerusi emel dengan Malaysiakini.

"Ahli politik wanita perlu bekerja jauh lebih keras untuk kedudukan. Tambahan pula dengan konflik antara ideologi politik dan usaha berkaitan hak wanita," katanya lagi.

Azalina mengingatkan ahli politik wanita untuk terus menjadi suara golongan itu - tanpa mengira kaum dan agama - selepas mendapat jawatan dalam kerajaan.

"Ini bukan semata-mata tanggungjawab kementerian wanita atau pertubuhan masyarakat sivil. Kita tak boleh benarkan nilai-nilai patriarki dan konservatif menenggelamkan suara politik wanita," katanya.

Anggota Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika ditanya jika beliau berpuas hati dengan komposisi kaum dan gender dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, persoalan itu tidak harus bertumpu kepada kedudukan dalam kabinet sahaja.

"Saya ada pandangan yang tegas berkenaan peranan wanita dalam politik dan kepimpinan.

"Mengapa persoalan berkenaan komposisi kaum dan gender berhenti di peringkat kabinet? Mengapa tidak di peringkat negeri atau pihak berkuasa tempatan?

"Bagaimana dengan perwakilan gender di setiap sektor lain - ekonomi, industri, pendidikan, pertanian dan sebagainya? Malaysia adalah salah satu penandatangan Matlamat Pembangunan Lestari," katanya.

Menurut Azalina, komposisi gender ke arah kesaksamaan dan kesamaan perlu dijadikan undang-undang di Malaysia.

"Walaupun ia kekal sebagai matlamat yang mencabar, saya kecewa apabila kerajaan PH tidak berusaha ke arahnya apabila mereka ada peluang keemasan untuk berbuat demikian.

"Saya harap dalam PRU akan datang, perwakilan gender yang berkadar akan dilihat dengan serius," katanya lagi.

Untuk rekod, ketika menjadi kerajaan, PH melantik timbalan perdana menteri, ketua hakim negara dan ketua pesuruhjaya SPRM wanita yang pertama, iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tengku Maimun Tuan Mat dan Latheefa Koya.

Dalam pada itu, Azalina berkata pemilihan anggota kabinet - termasuk untuk memperuntukkannya kepada golongan wanita, minoriti dan rentan - adalah hak perdana menteri.

"Pemilihan anggota kabinet adalah cerminan kepada perdana menteri dan visinya untuk negara.

"Pada akhirnya, saya percaya rakyat mahu anggota kabinet yang mewakili mereka. Menteri yang sanggup mendengar, telus dan mempunyai rasa kebertanggungjawaban di atas tindakan mereka.

"Jangan silap, pengundi kita lebih bijak, termasuk dalam politik. Tambahan pula, kita akan lihat kelompok muda yang kali pertama mengundi dalam PRU akan datang," katanya lagi.