Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesakit M'sia kumpulan pertama dari Asia Tenggara cuba Remdesivir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Pesakit tempatan yang dirawat di Hospital Sungai Buloh menjadi orang Asia Tenggara pertama dipilih untuk diberikan ubat Remdesivir yang diuji di seluruh dunia mengenai keberkesanannya melawan Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mula memilih pesakit terbabit dari sembilan hospital di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada ujian klinikal tersebut.

"Ujian klinikal di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu untuk 100 pesakit. KKM sudah menerima ubat tersebut dan mengagihkannya ke sembilan hospital.

"Jadi KKM sudah ada kes pertama untuk ujian klinikal kita dan KKM menyasarkan untuk mendapat (penyertaan) 100 pesakit," katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan semasa Covid-19 di Putrajaya today.

Terdahulu Noor Hisham ditanya mengenai perkembangan terkini ujian klinikal terhadap pesakit Covid-19 di negara ini.

Remdesivir merupakan ubat antivirus yang dikeluarkan syarikat bioteknologi AS, Gilead Sciences Inc.

Berdasarkan laman sesawang Gilead, Remdesivir pernah diuji ke atas haiwan bagi mengekang patogen virus yang strukturnya sama dengan Covid-19, seperti MERS dan SARS.

Pada 29 April lalu, Reuters yang memetik Gilead melaporkan ujian yang dijalankan membantu pesakit Covid-19. Ia juga memberikan data yang membayangkan Remdesivir boleh bertindak lebih baik jika diberikan pada peringkat awal jangkitan.

Menurut Noor Hisham ujian percubaan klinikal itu mengambil sedikit masa sebelum KKM boleh menyerahkan laporannya kepada WHO.

"WHO kemudian akan meneliti semua laporan daripada seluruh dunia (yang menjalankan ujian sama) termasuk Malaysia dan akan mengkajinya.

"Ia mungkin mengambil masa antara enam ke sembilan bulan (dari sekarang)," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.