Skip to main
Logo Malaysiakini

Arahan kerajaan bebankan majikan yang dah terjejas, kata Tenaganita dan MEF

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Beberapa pihak berpendapat arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani saringan kesihatan Covid-19 akan membebankan majikan yang turut terjejas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das, berkata mengapa kerajaan mengumumkan langkah tersebut yang dilihat dibuat tanpa difikirkan secara teliti, terutamanya ketika majikan berdepan dengan cabaran koronavirus.

Dengan dasar yang dilaksanakan sekarang, kata Glorene, majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen akan berasa takut dikenakan kompaun semasa melakukan ujian saringan berkenaan.

"Mengapa tidak diberikan percuma (kos ujian saringan) kepada semua memandangan mereka (pekerja asing) juga membayar melalui levi.

“Ia akan menjadi malapetaka jika kita mengharapkan majikan menanggung kos saringan dan ujian (kesihatan bagi Covid-19). Majikan juga akan turut terkesan,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mewajibkan pekerja warga asing di semua sektor termasuk pembinaan, perkilangan dan komersial menjalani saringan kesihatan Covid-19 (ujian calitan) bagi membendung penularan wabak itu.

Ismail Sabri berkata kos bagi saringan kesihatan tersebut perlu ditanggung oleh majikan

Glorene berkata keutamaan perlu diberikan kepada pekerja yang berhimpit atau bersesak-sesak dalam sesebuah kediaman, dengan kebanyakan mereka terlibat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Glorene

Menurutnya, mereka tidak dapat mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Tetapi jika majikan mengambil pekerja tanpa dokumen, mereka tidak akan bertanggungjawab ke atas saringan dan ujian tersebut.

“Dan secara keseluruhannya, majikan akan keberatan untuk menanggung kos tersebut, kerana mereka pun berdepan dengan kerugian berikutan kesan dari pandemik ini,” katanya.

Hantar surat rayuan kepada PM

Namun, katanya terdapat juga majikan yang mengambil berat tentang pekerja masing-masing dan sanggup menanggung kos ujian saringan tersebut, tetapi kemudian akan memotong gaji kemudian.

Mengulas lanjut, sukarelawan perubatan Tenaganita, Dr Cecilia Ann, berkata menjalankan ujian terhadap setiap pekerja warga asing tidak membantu untuk jangka masa panjang.

Sebaliknya, kata Cecilia, ujian tertumpu perlu diteruskan seperti yang turut dilakukan oleh Korea Selatan.

“Berhenti memberikan layanan yang berbeza terhadap warga asing dan pelarian apabila melibatkan ujian saringan Covid-19,” katanya.

Isu tersebut turut dibangkitkan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan dengan merujuk kepada masalah aliran kewangan yang dihadapi oleh kebanyakan syarikat.

Shamsuddin Bardan

“Banyak syarikat mengatakan bahawa kalau betul-betul ia dilakukan, mereka memilih untuk tidak meminta pekerja asing itu datang bekerja, duduk rumah saja dan saya rasa adalah amat tidak produktif.

“Sebab itu MEF meminta kerajaan mengkaji semula perkara ini dan pagi ini kami menghantar surat rayuan kepada perdana menteri untuk meminta kerajaan mengkaji semula keputusan ini sambil berharap ia tidak diteruskan,” katanya.

Shamsuddin turut mencadangkan agar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menanggung kos ujian Covid-19 menggunakan kit ujian pantas termasuk bagi pekerja warga asing.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor, menyatakan kebimbangan mengenai isu pekerja tanpa dokumen.

“Bagaimana kerajaan menyelia dan memantau syarat-syarat dan garis panduan mesti dilaksanakan oleh majikan dan sektor PKS (perusahaan kecil dan sederhana).

“Kerajaan mesti memohon laporan saringan Covid-19 daripada majikan dan PKS yang beroperasi sejak 18 Mac,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Halim menyifatkan saringan Covid-19 itu merupakan tindakan yang tidak boleh ditangguhkan.

“Pekerja asing yang ada di dalam negara semuanya mempunyai majikan dan kos mesti ditanggung majikan.

“Peruntukan Akta Kerja 1955 jelas menyatakan majikan mesti menyedia dan menanggung kos pemeriksaan dan perubatan pekerja syarikat.

“Kerajaan mesti memikirkan bagaimana tindakan saringan Covid-19 hendak dibuat terhadap pekerja asing yang tidak berdaftar atau pekerja asing tanpa izin," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.