Skip to main
Logo Malaysiakini

Lagi kisah pemegang pas MM2H kandas di luar negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada 18 Mac lalu, Malaysia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, termasuk menutup semua pintu sempadan negara kepada warga asing.

Bagaimanapun, pihak berkuasa negara membenarkan kemasukan bagi warga Malaysia yang pulang dari luar negara.

Namun, timbul kekeliruan apabila, Ratna Hartawan, 38 tahun dan keluarganya difahamkan tidak dapat memasuki Malaysia meskipun merupakan pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Ekoran daripada itu, Ratna bersama suaminya, Hartawan, 52 tahun dan anak perempuan mereka yang berusia 10 tahun kini terkandas selama 49 hari di Pattaya, Thailand.

Ratna dan keluarganya berasal dari Indonesia tetapi telah menetap di Johor di bawah program MM2H sejak 2017.

Ratna dan keluarganya merancang percutian selama seminggu ke Pattaya, Thailand sejak 15 Mac lalu dengan masing-masing hanya membawa empat pasang pakaian, wang tunai yang terhad dan satu kad kredit.

"Ia dirancang sejak Januari dan itu janjinya kepada anak perempuannya untuk bawa pergi bercuti ketika musim cuti persekolahan. Manakala suami saya pula seorang pesara dan kami selalu mengambil peluang cuti sekolah untuk melancong.

"Kami memilih Thailand kerana kami melihat Thailand tidak mempunyai masalah serius wabak Covid-19 (pada masa itu)," katanya kepada Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

 

Ketika Malaysia menutup pintu sempadan pada 18 Mac, Ratna dan keluarganya sudah kehabisan wang.

Ini adalah situasi yang mengerikan bagi mereka kerana suami Ratna menderita sakit diabetes dan hipertiroidisme dan mereka tidak dapat mendapatkan ubat-ubatan yang dia perlukan. Dia juga telah kehilangan berat badan sebanyak lima kilogram.

"Bulan pertama, kami menghadapi kesukaran untuk membeli ubat kerana kami tidak biasa dengan tempat itu.

"Pada saat kami berjaya mendapatkan ubat-ubatan tersebut, kami pula kekurangan wang tunai. Hidup kami betul-betul sengsara," katanya.

Ratna mengakui bahawa mereka telah membuat beberapa keputusan kurang bijak dengan terkandas di Thailand.

Katanya, sebelum ini dia hanya menjangkakan PKP akan berlanjutan selama dua minggu sahaja dan bertindak membeli tiket penerbangan pulang ke malaysia pada 1 April. Namun ia kemudian dibatalkan.

Mereka juga pada awalnya tinggal di sebuah hotel di mana mereka membayar 1,500 baht Thailand setiap hari untuk bulan pertama. Namun, apabila menyedari PKP akan mengambil masa yang lebih lama, mereka kemudian berpindah ke sebuat apartment dengan dikenakan sewa bulanan.

 

Ratna berkata dia sangat berharap dapat kembali ke Malaysia tidak lama lagi kerana keluarganya telah berhijrah dan menetap di Johor.

"Kami telah membeli sebuah rumah (di Johor) yang bernilai lebih dari RM1 juta dan sebuah kereta. Kami menyimpan wang selama 10 tahun. Kami rasa sangat sengsara hak kami dirampas kerana Malaysia satu-satunya rumah kami," katanya.

Ratna juga berkata dia telah cuba berhubung dengan pihak pengurusan program MM2H dan ketua pengarah Jabatan Imigresan bagi membolehkannya kembali ke Malaysia.

Tambahnya, dia juga sudah memaklumkan keadaan kesihatan suaminya.


Artikel berkaitan: Pemegang pas MM2H: ‘Malaysia satu-satunya rumah kami’


Bagaimanapun, dalam jawapan balas pihak terbabit memaklumkan kesemua mereka hanya boleh kembali ke Malaysia sebaik sahaja PKP ditamatkan.

Kata Ratna, dia juga sudah meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Bangkok bagi pinjaman kewangan.

Terdahulu Ratna berkata dia cuba mendapatkan bantuan Kedutaan Indonesia di Johor Bahru namun tidak mendapat maklum balas.

"Mereka tidak dapat menolong kami. Kedutaan Indonesia sangat pasif dan kurang bersimpati," katanya.

 

MM2H adalah inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dilancarkan pada tahun 2002 yang bertujuan menarik ekspatriat untuk melabur di Malaysia sebagai pilihan serius untuk migrasi.

Pas MM2H adalah visa boleh diperbaharui 10 tahun, pas kemasukan berulang kali itu turut memberi insentif seperti pembelian hartanah dan pendidikan, antara lain.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan nasib pasangan dari Amerika Syarikat, Sarah dan John (bukan nama sebenar), yang juga pemegang pas MM2H, yang turut terperangkap di negara yang sama.

Dalam perkembangan terkini, pasangan terbabit dimaklumkan terpaksa menjelaskan sewa bulanan rumah mereka di Pulau Pinang meskipun tidak tinggal di sana sejak Mac lalu.

"Setiap hari yang berlalu buat saya semakin kecewa dan marah [...] tidak ada yang dapat kami lakukan. Kerajaan boleh kurung kita sepanjang tahun. Tetapi mereka tidak cuba bawa kami pulang secara sistematik. Saya sudah muak," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya hari ini berkata mereka akan pulang ke negara ini suatu hari nanti dan akan tetap menjalani proses kuarantin wajib.

"Saya percaya mereka akan pulang (ke Malaysia) suatu hari nanti dan kepulangan mereka sama sahaja dengan rakyat negara kita iaitu mesti dikuarantin wajib selama 14 hari," katanya.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Menteri Pelancongan Nancy Shukri dan  untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini dan sedang menunggu maklum balas.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam pesanan teks kepada Malaysiakini, berkata  warga asing masih tidak dibenarkan memasuki Malaysia buat masa ini.

"Warga asing masih tidak diizinkan (masuk Malaysia). Kami akan memutuskan (tarikh membenarkan pemegang visa MM2H kembali) apabila tiba masanya," katanya.