Skip to main
Logo Malaysiakini

Penduduk masih takut keluar rumah walau PKPD telah tamat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penduduk di Malayan Mansion dan Selangor Mansion masih lagi takut untuk keluar dari rumah walaupun perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sudah berakhir sejak tiga hari lalu.

Rata-rata penduduk hanya keluar untuk membeli barang keperluan seperti beras, sayur dan keperluan lain di kedai runcit atau pasar raya berdekatan.

Seorang penduduk Selangor Mansion, Lim Kim Kee berkata dia hanya keluar untuk membeli barangan keperluan di pasar raya berhampiran sejak sebelum PKPD dikuatkuasakan di kawasan itu.

“Saya pakai topeng muka dan cuci tangan siap-siap sebelum keluar sebab masih takut dengan keadaan sekarang.

“Kalau saya keluar pun, saya beli barang banyak sikit untuk tahan seminggu lebih macam itu supaya tak payah keluar banyak kali. Paling banyak saya keluar pun dua kali dalam satu hari,” jelasnya ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Sementara itu, seorang penduduk Malayan Mansion, Nganambikai Vsnathan baru keluar dari rumahnya semalam walaupun PKPD tamat sejak tiga hari lalu.

“Saya baru mula keluar rumah semalam, itu pun sebab saya dah mula kerja balik. Takut juga nak keluar bekerja dengan keadaan di sini, tapi saya nak cari duit, kena berani juga.

“Sejak tutup (PKPD) hari itu, saya tak bekerja, majikan pun faham sebab nak lindung keselamatan pekerja lain,” jelasnya yang telah bekerja semula selepas tempoh PKPD tamat.

Premis perniagaan mula beroperasi

Tinjauan mendapati beberapa kedai di kawasan itu sudah mula beroperasi dengan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Peniaga kedai pakaian wanita, Razlan Jaludin berkata premisnya akan beroperasi dengan mengutamakan penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan seperti yang disarankan oleh MKN.

“Kami dah pasang pita pelekat dalam jarak satu meter untuk persediaan, dan menyediakan cecair pembasmi kuman di premis.

“Bagi alat periksa suhu badan, kami masih mencari di farmasi-farmasi sekitar Kuala Lumpur kerana kebanyakannya telah kehabisan stok,” jelasnya ketika ditemui.

Sementara itu, sebuah restoran di Selangor Mansion kembali beroperasi semalam selepas menutup operasi sejak 8 April lalu mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Pengurus ABC Bistro Cafe, Mohamad Sitik berkta premisnya hanya menyediakan pembelian bawa pulang dan tidak membenarkan pelanggan makan di situ.

“Kami telah memasang pita pelekat untuk pastikan penjarakan sosial, sediakan juga cecair pembasmi kuman dan kita pastikan makanan akan dicedok oleh pekerja setiap masa.

“Untuk elak sebarang masalah, terutamanya waktu orang beli makanan untuk berbuka, kita pastikan ada pekerja yang sentiasa mengawal pelanggan yang datang membeli,” jelasnya.

Tak mampu bayar sewa penuh

Kata seorang penduduk di kawasan itu, Jamal Mohamad yang berumur 83 tahun, pemilik rumah tetap dengan keputusan agar sewa rumah perlu dibayar penuh.

“Saya sudah tinggal sini sejak tahun 70-an lagi, meniaga kecil saja tapi sejak tutup (PKPD) tiada duit (pendapatan) masuk.

“Tuan rumah masih minta saya bayar penuh, kalau saya lambat bayar dia marah. Saya sudah tua, hari ini baru mula jual buah di bawah blok ini,” luahnya.

Turut mengalami nasib yang sama, penjual pakaian wanita, Razlan Jaludin yang mengatakan pemilik kedai tetap mahukan beliau membayar sewa bulanan secara penuh.

“Saya tak buka kedai walaupun secara dalam talian sebab saya tak sempat nak ambil stok yang saya simpan di kedai.

“Jadi, saya tutup dah sebulan lebih. Pemilik bangunan ini masih minta saya bayar sewa penuh walaupun dah cuba minta pemotongan sikit,” kata Razlan.

Pemandu van persendirian yang menetap selama 50 tahun di Malayan Mansion, Mansor Mohamad berkata dia mengalami kesukaran untuk membayar sewa rumah dalam jumlah yang penuh kerana tidak mendapat sebarang permintaan untuk menghantar barang.

“Kalau dulu selalu juga hantar barang di sana sini. Sekarang sebab PKP ini susah nak cari duit sebab tak ramai yang minta.

“Ada cakap dengan tuan rumah, nak minta potong sikit. Tapi dia tak layan pun, masih kena bayar penuh. Susahlah mahu cari duit, nak makan lagi,” jelasnya.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kawasan di sekitar Kuala Lumpur yang dulunya padat dengan pengunjung terutamanya ketika orang ramai sedang membuat persiapan menjelang raya, kini sunyi dengan hanya beberapa orang penghuni kawasan berdekatan atau peniaga kelihatan berlegar di kawasan tersebut.

Walaupun terdapat premis-premis perniagaan yang sudah mula beroperasi di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan kompleks beli belah Sogo, rata-ratanya tidak mempunyai pelanggan seperti kebiasaannya dan menutup premis lebih awal.