R&R tutup semasa perjalanan rentas negeri
Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya termasuk gerai makan dan surau ditutup untuk kegunaan orang awam yang melakukan perjalanan rentas negeri selama empat hari bermula esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya penggunaan tandas di kawasan R&R sahaja dibenarkan.
“Justeru mereka yang terlibat dinasihatkan untuk membawa bekalan makanan sendiri kerana gerai makanan ditutup dan pihak berkuasa juga akan berada di setiap R&R untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata bagi perjalanan yang jauh, orang ramai dibenarkan untuk berhenti rehat di kawasan itu namun perlu berada dalam kenderaan sahaja, selain operasi stesen minyak turut dibuka dari pukul 6 pagi hingga 12 malam di sepanjang lebuh raya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengeluarkan jadual pergerakan rentas negeri selama empat hari bermula esok bagi membolehkan orang ramai yang terkandas disebabkan penguatkuasaan PKP pulang ke kediaman masing-masing.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai