Skip to main
Logo Malaysiakini

PH Johor dakwa ada usaha tolak Suhaizan sebagai speaker

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Adun Pakatan Harapan (PH) mendakwa terdapat percubaan untuk menukar Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat dari Amanah pada sidang 14 Mei ini.

Dalam satu kenyataan media bersama, mereka berkata usaha tersusun sedang digerakkan untuk mengumpulkan Akuan Bersumpah (SD) dari kalangan wakil rakyat untuk menolak speaker sedia ada.

“Adun PH mendapat maklumat daripada sumber-sumber yang dipercayai bahawa ada percubaan untuk menukar speaker Dewan Johor sedia ada menerusi sidang 14 Mei ini.

“Menurut maklumat tersebut, usaha tersusun sedang digerakkan untuk mengumpulkan statutory declaration (SD) dari kalangan Adun-Adun untuk menolak speaker,” kata mereka.

Suhaizan, yang bukan seorang wakil rakyat, dilantik sebagai speaker pada Jun 2018 selepas PH berjaya menubuhkan kerajaan negeri setelah menewaskan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Pada pilihan raya itu, Suhaizan yang bertanding di kerusi DUN Kukup tewas kepada calon BN, Md Othman Yusoff.

Suhaizan memperoleh 10,251 undi, Md Othman mendapat 11,113 undi manakala calon PAS, Karim Deraman memperoleh 1,040 undi.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri PH yang diterajui menteri besar ketika itu, Dr Sahruddin Jamal tumbang pada 28 Februari apabila Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang selesai menemu bual 54 daripada 56 anggota DUN dan berpuas hati bahawa 28 daripada mereka menyokong gabungan baru - Perikatan Nasional - yang terdiri daripada Bersatu, BN dan PAS.

Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad kemudiannya mengangkat sumpah sebagai menteri besar.

Adun-Adun PH sebelum ini dilaporkan akan mencabar kedudukan Hasni semasa sidang DUN Johor tetapi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyaksikan sidang itu tertangguh.

Kedudukan speaker dianggap penting kerana beliau boleh membuat undian memutuskan sekiranya jumlah sokongan wakil rakyat buntu dengan masing-masing mendapat 28 kerusi.

Mengulas lanjut, Adun PH Johor juga berkata, tempoh persidangan yang lebih panjang wajar diberikan bagi sesi ikali ini memandangkan banyak isu melibatkan rakyat perlu dibincangkan bersama.

“Berdasarkan surat yang diedarkan, mesyuarat akan berlangsung satu hari sahaja.

“Berdasarkan surat yang sama juga, tiada terimaan soal-soal, rundingan-rundingan dan rang undang-undang pada mesyuarat kali ini susulan daripada pelaksanaan PKP dan bagi tujuan mengekang penularan wabak Covid-19,” kata mereka.

PH Johor juga pendirian menteri besar sewajarnya mengadakan pertemuan sekurang-kurangnya bersama ketua pembangkang.

“Dalam keadaan kerajaan Perikatan Nasional Johor yang sedang memimpin tanpa mandat rakyat, suara wakil-wakil rakyat PH adalah amat penting,” kata mereka.

Namun, menurut mereka, PH Johor menerusi Aminolhuda Hassan telah beberapa kali cuba menghubungi Hasni tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.