Skip to main
Logo Malaysiakini

55 jemaah tabligh Malaysia didakwa salah guna visa lawatan di India

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Luar Negeri memaklumkan 55 jemaah tabligh yang terkandas di India ekoran penularan wabak Covid-19 telah didakwa menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa India.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Kamarudin Jaffar, berkata kerajaan telah menyelaraskan bantuan bagi membolehkan jemaah tabligh yang ditahan mendapat khidmat guaman.

"55 orang (jemaah tabligh) telah dikenakan tuduhan menyalahgunakan visa lawatan oleh pihak berkuasa di India.

"Saya telah mengarahkan perwakilan-perwakilan Malaysia di India untuk menyelaras usaha bagi membolehkan mereka ini mendapat khidmat guaman.

"Pada masa sama kerajaan Malaysia juga sedang usahakan urusan keluar jemaah tabligh yang masih berada di pusat-pusat kuarantin (di India)," katanya dalam sidang media di Wisma Putra, Putrajaya, hari ini.

Kamarudin berkata, sehingga kini seramai 190 jemaah tabligh masih terkandas di India.

Pada 16 April lalu, Kamarudin memaklumkan seramai 191 jemaah tabligh warganegara Malaysia itu sedang dikuarantin di India.

Kesemua jemaah tabligh ini menghadiri ijtimak di negara itu sebelum kerajaan India menguatkuasakan 'perintah berkurung' bagi mengawal penularan Covid-19.

India melaksanakan ‘perintah berkurung’ di seluruh negara hingga 3 Mei 2020.

Menurut Kamarudin, Konsulat Malaysia di New Delhi melaporkan sebanyak 17 rakyat Malaysia ditahan di bawah tiga akta terdiri dari Akta Pengurusan Bencana Negara 2005; Akta Orang Asing 1946 dan Kanun Keseksaan India.

Dalam sidang medianya hari ini, Kamarudin berkata jemaah tabligh yang terkandas di India itu membabitkan 158 di New Delhi, 23 orang di Chenai dan sembilan orang di Mumbai.

Kesemua mereka masih berada di pusat kuarantin dan pusat tahanan sementara yang disediakan kerajaan India.

Kamarudin turut meminta ahli keluarga mangsa ataupun waris supaya bersabar kerana kerajaan sedang berusaha untuk membawa mereka pulang ke tanah air.

"Usaha ini penting bagi membolehkan membawa mereka pulang ke Malaysia lancar.

"Saya memohon ahli keluarga atau waris dapat bersabar dan sama-sama kita berdoa agar urusan membawa pulang mereka yang ditahan ini membuahkan hasil yang secepat mungkin.