Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 45 kes baru, 135 pesakit pulih, satu kematian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 135 lagi pesakit pulih daripada wabak Covid-19 dan dibenarkan pulang hari ini.

Ia menjadikan jumlah pesakit yang telah pulih setakat ini kepada 4,702 orang, iaitu 73.15 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 45 kes baru dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini kepada 6,428 kes.

"(Daripada jumlah itu) sebanyak 1,619 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Daripada 45 kes baru, 44 daripadanya adalah daripada penularan tempatan, katanya.

"Satu kes (baru) dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), iaitu di kawasan pasar borong Kuala Lumpur," katanya lagi.

Seorang lagi pesakit Covid meninggal dunia, menjadikan angka korban meningkat kepada 107, atau 1.66 peratus daripada jumlah kes.

Pesakit 2,380 (kematian ke-107)

Lelaki warga Malaysia berumur 51 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April dan disahkan meninggal pada pukul 2.53 petang semalam.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan seramai 22 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang dua berbanding semalam.

Daripada jumlah itu, sembilan pesakit memerlukan bantuan pernafasan, meningkat satu kes berbanding semalam.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.