Skip to main
Logo Malaysiakini

Larang liputan kes anak Zahid, Adun PKR gesa buat laporan polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan PKR Perak Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata pihak media perlu membuat laporan polis berhubung insiden beberapa wartawan dan petugas media dilarang membuat liputan kes perbicaraan melibatkan anak Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah dan suaminya Saiful Nizam.

"Saya meminta wartawan-wartawan yang dilarang supaya membuat satu laporan polis untuk menyiasat siapakah dalang di sebalik menghalang pihak media menjalankan tugas.

"Pertama, kita perlu tahu siapa yang keluarkan arahan sedemikian untuk melarang pemberita daripada membuat liputan?

“ Pihak mahkamah, arahan polis atau ‘arahan daripada atas', Kita perlu tahu. Saya percaya arahan seperti itu tidak mungkin daripada mahkamah kerana pihak mahkamah tiada kepentingan melarang media membuat liputan kes-kes VIP seperti ini.

"Biar polis membuat siasatan untuk mengenal pasti dalang di sebalik arahan larangan ini. Sekiranya, perkara ini diambil ringan maka ia akan menjadi satu duluan pada masa akan datang untuk menghalang pihak media untuk membuat liputan kes-kes profil tinggi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau turut menuntut kerajaan Perikatan Nasional pimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya membuat penjelasan berhubung insiden tersebut.

Terdahulu semalam, Nurulhidayah dan suaminya disabitkan atas tuduhan melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau dan suaminya dituduh melakukan perjalanan dari Kajang ke Jabatan Alam Sekitar di Putrajaya pada jam 9 pagi 20 April, dan masing-masing didenda RM800 kerana kesalahan itu.

Namun, sekurang-kurangnya lima wartawan yang hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk membuat liputan kes itu diarahkan keluar dari ruangan sidang tersebut tanpa diberikan alasan yang jelas.

Mengulas lanjut insiden tersebut, Arafat yang juga Adun Hulu Kinta berkata bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia untuk mengamalkan kehidupan 'norma baru' di bawah kerajaan PN.

"Sehingga kini tiada pemimpin PN membuat kenyataan berhubung insiden wartawan dilarang. Saya percaya insiden ini pun adalah satu pendekatan baru (norma baru).

"Rakyat Malaysia kini sedang mempelajari cara kehidupan baru dalam pasca Covid-19, juga perlu menerima norma-norma baru yang tidak masuk akal seperti ini daripada PN," sindir beliau.

"Sebagai contohnya baru-baru ini seorang menteri kanan telah membuat keputusan tanpa berbincang dengan kerajaan negeri.

"Semua perlu terima sebarang keputusan olehnya (Kerajaan PN). Sekiranya, gagal anda (kerajaan negeri) akan diugut saman," katanya.