Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 14,000 warga Malaysia terkandas sudah dibawa pulang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 14,015 orang rakyat Malaysia yang terkandas di 70 negara lain kerana wabak Covid-19 sudah berjaya dibawa pulang setakat ini.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap keadaan rakyat Malaysia, termasuk pelajar yang berada di luar negara.

"Setakat ini kami bersyukur kerana hasil usaha ini, setakat 6 Mei lalu Kementerian Luar memudah cara kepulangan seramai 14,015 orang rakyat Malaysia dari 70 buah negara.

"Sehingga hari ini juga, terdapat 664 rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara, dan ia termasuk jemaah tabligh yang sedang ditahan dan dikuarantin di India," katanya pada sidang media di Wisma Putra di Putrajaya hari ini.

Kamarudin juga mengingatkan rakyat Malaysia yang masih berada di luar negara - termasuk pelajar - untuk terus berkomunikasi dengan pejabat-pejabat kedutaan Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha yang akan dijalankan kerajaan.

Katanya kerajaan berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat pembatalan penerbangan ekoran pelaksanaan 'perintah berkurung' bagi negara-negara terkesan akibat Covid-19.

Pada 31 April lalu Wisma Putra menjelaskan bahawa Kementerian Luar tidak menyerahkan kepada pihak lain untuk membantu menguruskan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar akibat wabak Covid-19.

Menurut Kamaruddin sokongan yang diterima adalah dari segi bentuk sumbangan sahaja.

"Saya ambil maklum bahawa terdapat laporan yang mendakwa kononnya pihak Wisma Putra menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk membantu memudah cara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

"Ingin saya tegaskan bahawa sokongan yang diterima adalah menerusi pembiayaan kos penerbangan sahaja, manakala segala urusan lain iaitu rundingan dengan kerajaan asing senatiasa dilakukan secara rasmi melalui saluran diplomatik," kata Kamarudin.

Beliau juga ditanya mengenai pelajar Malaysia di Rusia seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob agar lebih baik mereka kekal di negara yang sedang didiami.

Kata Kamarudin, Wisma Putra turut menyarankan supaya para pelajar di luar negara mematuhi nasihat berkenaan.

"Di Rusia, bagi tempoh 28 Mac hingga 12 Mei 2020, kerajaan Rusia melaksanakan arahan kawalan pergerakan yang merangkumi langkah-langkah bertujuan mengekang penyebaran virus Covid-19.

"Di sini saya ingin menyatakan bahawa Kementerian Luar menerusi kedutaan besar Malaysia di Rusia amat mengambil berat dan telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membantu rakyat serta pelajar Malaysia di Rusia.

"Percayalah, sekiranya situasi bertambah buruk, kerajaan khususnya Kementerian Luar melalui kedutaan memberi jaminan akan segera mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia termasuk pelajar di Rusia," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.