Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada caj tambahan bagi ansuran perjanjian sewa beli

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pihak bank dan institusi kewangan di negara ini bersetuju melupuskan caj tambahan ke atas ansuran bagi pinjaman sewa beli bagi kedua-dua sistem konvensional dan syariah.

“Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan syariah) sepanjang tempoh pembiayaan tersebut.

“Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan),” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, peminjam akan perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing.

Ini termasuk tambahan enam bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium tersebut.

Beliau berkata, maklumat lanjut, boleh didapati daripada bank masing-masing.

"Kerajaan berharap keputusan ini akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ini," katanya lagi.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Mei lalu menyatakan rasa kesal kerana pengumumannya mengenai perubahan prosedur untuk moratorium enam bulan untuk pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap menimbulkan kekeliruan dan kerisauan.

Dalam soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan hari ini, BNM menafikan telah membatalkan keputusan mengenai penangguhan pembayaran enam bulan untuk kedua-dua pinjaman tersebut.

"Penangguhan pembayaran masih secara automatik untuk Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap," kata BNM dalam soalan lazim yang dikeluarkan hari ini.

BNM berkata perubahan terbaru dalam prosedur, yang memerlukan peminjam "melengkapkan dokumen untuk memberikan kebenaran yang sah bagi moratorium ini dilaksanakan", tidak dapat dielakkan.

"Pihak BNM berasa kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman yang dibuat," kata BNM.

Susulan itu Tengku Zafrul meminta institusi perbankan memiliki kemampuan untuk melupuskan faedah terakru bagi pinjaman sewa beli dan keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap yang terbabit dalam tempoh moratorium enam bulan.

Beliau berkata ini adalah masa untuk syarikat kewangan bersama-sama kerajaan membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

"Sebagai bekas korporat perbankan yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini, ia (pelupusan) boleh dilakukan oleh perbankan ketika rakyat amat memerlukan bantuan ketika ini," kata Tengku Zafrul.