Terengganu larang makan di premis dalam tempoh PKPB
Kerajaan Terengganu tidak membenarkan orang ramai makan dan minum di premis makanan termasuk restoran, medan selera dan kios dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), berkuatkuasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, bagaimanapun peniaga masih boleh beroperasi seperti biasa.
"Operasi terhad kepada urusan bawa pulang dan penghantaran bermula tiga petang hingga 10 malam bagi premis kepunyaan orang Islam dan pukul tujuh pagi hingga 10 malam bagi bukan Islam, " katanya yang juga memaklumkan berpuas hati dengan kadar pematuhan rakyat dan peniaga yang mencapai 90 peratus.
Sementara itu, PKP meringankan bebanan tugas para pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terutama pada bulan Ramadan ini berikutan tiada bazar Ramadan dan acara berbuka puasa di kawasan yang lapang.
Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT, Suzaimi Mazlan berkata pada Ramadan tahun ini sehingga kini, secara purata hanya 230 tan sisa buangan yang direkodkan setiap hari berbanding antara 250 sehingga 280 tan sehari pada bulan Ramadan tahun lepas.
“Pengurangan sisa buangan itu memang ketara. Tahun lepas di Dataran Syahbandar dan Pesisir Payang sahaja kita (MBKT) terpaksa tambah lebih 20 buah tong sampah. Mungkin kerana berbuka puasa di Dataran Syahbandar yang berlatarbelakangkan drawbridge adalah satu fenomena baru pada waktu itu,” katanya.
Katanya, sepanjang PKP ini juga kuantiti sisa buangan menunjukkan pertambahan di kawasan perumahan yang meliputi kira-kira 10,000 buah rumah, manakala di pusat bandar pula sisa buangan berkurangan.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai