Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian Pengangkutan, KTM minta maaf komuter sarat penumpang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Pengangkutan dan KTM Berhad memohon maaf atas kejadian kereta api komuter terlalu sesak dengan penumpang yang melanggar syarat jarak sosial.

Awal minggu ini, satu video memaparkan penumpang berdiri dekat bahu ke bahu di dalam gerabak Komuter KTM telah tular di media sosial.

Menjelaskan mengenai video tersebut, kementerian berkata kereta api enam gerabak telah menghadapi masalah mekanikal dan mengakibatkan penumpang "dibawa" ke kereta api gantian dengan tiga gerabak.

Paparan kereta api ganti penuh sesak itu yang dilihat dalam klip berkenaan merupakan perkhidmatan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim pada awal pagi 5 Mei.

"Penyelesaian masalah teknikal tren ini bagaimanapun telah mengakibatkan kesesakan yang melanggar peraturan PKP dan video berdurasi 10 saat yang dirakamkan oleh penumpang di dalam tren berkenaan turut tular di media sosial.

"Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan telah memberikan teguran tegas kepada kakitangan dan pegawai yang telah membiarkan pelanggaran terhadap garis panduan kesihatan PKP ini.

"Pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Kementerian Pengangkutan akan terus memantau situasi dalam perkhidmatan pengangkutan awam untuk memastikan kejadian sama tidak berulang dan aspek keselamatan serta kesihatan penumpang sentiasa diutamakan," katanya dalam suatu kenyataan semalam.

Kementerian Pengangkutan juga memberi jaminan bahawa kesilapan sebegitu tidak akan berulang lagi dan menegaskan langkah kawalan penumpang yang lebih ketat akan dilaksanakan.

"...termasuk menghadkan jumlah penumpang di pintu masuk sebelum dibenarkan berada di platform menaiki tren.

"Kementerian Pengangkutan dan KTMB ingin memohon maaf kepada orang ramai dan mengingatkan kepada semua supaya sentiasa mematuhi garis panduan KKM semasa PKP, termasuk mengamalkan penjarakan sosial sekurang-sekurangnya satu (1) meter dan memakai topeng muka sebelum menggunakan perkhidmatan tren," jelasnya lagi.

Semalam, KTM Berhad turut menjelaskan kejadian itu tetapi mengatakan penumpang yang gagal menjarakkan diri ketika bergegas untuk pergi ke tempat kerja pada pagi hari.

Prosedur operasi standard bagi perkhidmatan KTM semasa PKP Bersyarat termasuk memastikan jarak satu meter antara penumpang, menggalakkan pemakaian penutup hidung dan mulut serta menggunakan pengimbas termal untuk mengesan suhu penumpang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.