Skip to main
Logo Malaysiakini

S'wak buka semula ekonomi dengan sasar projek tertentu di zon hijau

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri Sarawak akan membuka semula sektor ekonominya dengan mengenal pasti projek-projek tertentu dalam kawasan zon hijau yang ditutup akibat wabak Covid-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah mengumumkan sebanyak 526 projek kerajaan bernilai RM22.1 bilion akan disambung semula mulai 10 Mei.

"Projek-projek ini telah diteliti dan ditapis oleh jawatankuasa projek zon hijau yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri Sarawak," katanya.

Kawasan yang tidak mempunyai kes aktif Covid-19 dirujuk sebagai zon hijau.

Kawasan yang mempunyai sehingga 40 kes Covid-19 pula dikategorikan sebagai zon kuning, manakala kawasan yang mempunyai lebih daripada 40 kes dianggap sebagai zon merah.

Antara kriteria yang ditetapkan adalah sesuatu projek tidak boleh membawa masuk pekerja, bahan binaan atau jentera dari luar zon hijau dan menggunakan pekerja tempatan.

Kerajaan mengumumkan pembukaan semula ekonomi negara pada Isnin lalu berikutan situasi yang bertambah baik.

Ini termasuk hampir semua perniagaan dan beberapa aktiviti rekreasi.

Bagaimanapun, beberapa negeri menangguhkan keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi.

Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri Azmin Ali, yang juga menteri kanan yang bertanggungjawab bagi urusan ekonomi, berkata peserta industri boleh mengambil tindakan undang-undang jika kerajaan negeri enggan mematuhi langkah kerajaan persekutuan

Pembukaan semula ekonomi itu dilakukan menjelang berakhirnya perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijadualkan pada 12 Mei.

Sehingga tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 6,428 kes Covid-19 dengan 107 kematian. 

Seramai 1,609 orang masih dirawat manakala 4,702 orang telah pulih.