Skip to main
Logo Malaysiakini

FMM gesa k'jaan jangan tangguh kuat kuasa Seksyen 17A Akta SPRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk tidak menarik balik pelaksanaan dan penguatkuasaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018.

Akta itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun, memperuntukkan tanggungjawab korporat yang ketat ke atas organisasi komersial atas kegagalan untuk mencegah rasuah. 

Ia diluluskan di parlimen pada 5 April, 2018 dan diwartakan pada 5 Mei, 2018.

Presiden FMM Soh Thian Lai berkata terdapat saranan supaya tarikh pelaksanaannya ditangguhkan selama setahun kepada 1 Jun, 2021 berikutan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan perniagaan.

“Bagaimanapun, ia lebih penting pada masa ini apabila syarikat menghadapi keadaan perniagaan yang mencabar untuk tidak berkompromi terhadap rasuah dan memastikan amalan rasuah dicegah dan ditangani secara berkesan di peringkat organisasi dan di seluruh rantaian bekalan,” katanya.

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur, beliau berkata FMM menyedari bahawa pandemik itu mungkin telah menangguhkan inisiatif syarikat untuk melaksanakan program pematuhan yang kukuh bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang.

Oleh itu, FMM mencadangkan penangguhan perlu selama tiga bulan hingga maksimum enam bulan, dengan tarikh yang pasti dinyatakan dan diwartakan dengan segera, untuk memastikan syarikat mengambil tarikh akhir baharu dengan serius.

Ini akan membolehkan syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyusun semua prosedur dan sistem mereka dengan teratur.

Soh berkata sebagai pemacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, sektor swasta mempunyai peranan untuk membanteras rasuah.

“Penting bagi perniagaan untuk mewujudkan sistem integriti yang kukuh dalam operasi mereka bagi mengurangkan sebarang risiko rasuah,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.