Skip to main
Logo Malaysiakini

Kluster baru di pusat beli-belah di Cheras dikesan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Satu kluster baru telah dikenal pasti melibatkan pengawal keselamatan sebuah pusat membeli-belah di Cheras, Kuala Lumpur, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata setakat ini ujian saringan telah dibuat kepada 436 orang, dengan sepuluh daripadanya didapati positif dan 436 negatif, manakala 79 lagi sedang menunggu keputusan.

Daripada sepuluh kes itu, beliau memaklumkan sembilan melibatkan warga Nepal dan seorang warga tempatan.

"Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan.

"Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua pekerja dan kontak rapat mereka," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham tidak menyatakan nama pusat membeli-belah itu.

Beliau berkata sembilan warga Nepal yang disahkan positif itu tinggal di rumah sama di Cheras.

"Saringan Covid-19 telah dijalankan ke atas penghuni kediaman mereka, pengawal dan anggota keselamatan di pusat membeli-belah tersebut, dan juga pekerja pasar raya yang berkait rapat.

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cheras dan Titiwangsa akan terus menjalankan pemantauan ke atas kenaikan kes Covid-19 berkaitan kluster ini," katanya, sambil memaklumkan semua kontak rapat bagi setiap kes telah dipanggil untuk tujuan saringan dan pendidikan kesihatan.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat lapan kes baru dikesan di Pusat Bandar Utara dan pasar borong Kuala Lumpur, dua kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Setakat ini sejumlah 189 kes dikesan di dua kawasan tersebut, dengan 115 daripadanya melibatkan warga asing.

Di satu lagi kawasan PKPD berhampiran iaitu Selayang Baru, Noor Hisham berkata tidak ada kes baru setakat ini, menjadikan jumlah kes di situ kekal 52 kes.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.