Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: Perlu pantau PKPB dulu sebelum buka sektor ekonomi lain

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) ingin melihat kesan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dahulu sebelum memberi nasihat kepada kerajaan berkenaan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka sedang memantau situasi dan berharap dapat membuat jangkaan dalam masa dua minggu.

"Kita telah beri kelonggaran menerusi PKPB yang bermula 4 Mei, dan harap dalam masa dua minggu, kita akan pantau perkembangan jika ada peningkatan kes atau tidak.

"Sebelum boleh buka lebih banyak lagi sektor ekonomi, terutama seperti (perkhidmatan) gunting rambut. Kita akan pantau sebelum beri nasihat (kepada perdana menteri)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham menjawab soalan pemberita berkenaan sama ada KKM akan menimbang untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut kembali beroperasi seperti sektor dan perkhidmatan lain.

Setakat ini, katanya, kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan kembali beroperasi memandangkan ada laporan jangkitan Covid-19 daripada perkhidmatan itu di luar negara.

"Setakat ini masih tak dibenarkan. Ada laporan di Jepun dan Amerika Syarikat berkenaan jangkitan di kalangan mereka," katanya lagi.

Bermula Isnin lepas, kerajaan menguatkuasakan PKPB yang merupakan pelonggaran kawalan pergerakan bagi membolehkan kebanyakan sektor ekonomi kembali beroperasi secara penuh.

Bagaimanapun syarikat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan KKM untuk setiap industri.

Pada masa sama, beberapa sektor terutama yang sukar melaksanakan penjarakan sosial masih tidak dibenarkan menyambung operasi.

Bulan lalu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri meluluskan operasi semula kedai gunting rambut tetapi keputusan itu ditarik balik ekoran bantahan pelbagai pihak.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.