Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu tunggal soal kenapa hukuman PKP double standard?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Apabila ibu tunggal B Lisa Christina pertama kali dihukum penjara 30 hari kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), dia sudah bersedia dari segi mental untuk menjalani hukuman penuh kerana percaya undang-undang adalah sama untuk semua orang.

Bagaimanapun, apabila dia mula berbual dengan 37 banduan lain di Penjara Kajang, Lisa sedar ada sesuatu yang tidak kena.

"Dalam sel ada 38 orang, termasuk saya dan yang lain semua warga asing, wanita Indonesia. Saya satu-satunya rakyat Malaysia di sana.

"Mereka dijatuhi hukuman kerana (melanggar) PKP dan juga kerana tidak ada permit, tetapi hukuman penjara mereka lebih rendah berbanding saya (dikenakan hukuman) 14 hari. Saya telah dibuli (oleh mereka dalam penjara).

"Hukuman terhadap saya paling tinggi dalam sel, itu sebabnya mereka tanya, kenapa Wanita Malaysia dipenjara 30 hari hanya kerana (melanggar) PKP?

"Orang ketawakan saya (dalam penjara), mereka kata saya seorang pembohong," kata Lisa dalam satu sidang media di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran hari ini.

Menurut Lisa, dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan kepada mereka kerana dia juga tidak tahu apa yang berlaku.

"Saya beritahu mereka mungkin ada sesuatu yang tak betul tapi mereka tidak percaya saya. Ia merupakan satu pengalaman buruk di sana," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai pengalaman di penjara, Lisa berkata jika dia berbuat demikian, dia mungkin menangis kerana ia sangat traumatik.

Lisa dipenjarakan selama lapan hari sebelum Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan dan menggantikan hukuman penjara dengan denda RM1,000 pada 29 April.

Selepas dia dibebaskan dari penjara, Lisa menjadi lebih marah dan tidak berpuas hati apabila mendapat tahu anak perempuan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan pasangannya hanya didenda RM800 bagi kesalahan yang sama.

Lisa sebelum ini menulis hantaran di Facebook mengenai rasa tidak puas hati terhadap hukuman denda terhadap Nurulhidayah Ahmad Zahid dan Saiful Nizam Mohd Yusoff yang disifatkan doubel standard.

https://i.ncdn.xyz/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/04/b9c5e13bc4e45e87178c40fae2ee7fed.jpg

Lisa berkata dia tidak bemaksud apa-apa selain menyatakan kemarahannya  dan mengatakan tidak mengenali siapa Ahmad Zahid sebelum itu.

"Saya marah pada masa itu, tak puas hati. Anak perempuan seorang Datuk hanya didenda RM800 bagi kesalahan yang sama seperti saya. Saya begitu marah.

"Oleh kerana saya fikir ini adalah undang-undang, ia sepatutnya berlaku adil kerana undang-undang untuk semua orang.

"Saya hanya kata apa yang saya rasa (dalam hantaran Facebook). Ia adalah dari hati saya. Saya hanya harap demi satu perkara, untuk keadilan saya. Saya ingin tahu apa yang salah," katanya.

Lisa, yang bekerja dalam bidang pemasaran dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun, juga menceritakan apa yang berlaku pada hari dia ditangkap pada 12 April.

Katanya, dia pergi ke kedai di tingkat bawah flat tempat dia menyewa bilik untuk membeli minuman botol.

Apabila dia meninggalkan kedai, dia ternampak teman serumah dan rakan sekerjanya yang juga seorang lelaki warga Indonesia dan mendekatinya untuk memberinya salah satu minuman botol tersebut.

Kata Lisa, selain itu terdapat dua lagi lelaki turut mengenali teman serumahnya dan mereka mendekati beliau, sebelum mereka ditahan oleh pihak polis.

[Baca berita penuh]