Skip to main
Logo Malaysiakini

Pihak tak patuhi jadual rentas negeri akan diarah patah balik, kata polis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata mereka yang gagal mematuhi jadual pergerakan ketika membuat perjalanan rentas negeri akan diarah berpatah balik.

“Mereka yang ingkar untuk merentasi sempadan negeri dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan, akan diarahkan berpatah balik.

“Bagi mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 dan berdepan denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” katanya menerusi program Bual Bicara kendalian Sinar Harian hari ini, seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata perkara sama akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar dan mengambil kesempatan daripada kebenaran untuk membuat perjalanan itu.

Katanya lagi, bagi memastikan pergerakan rentas negeri mematuhi prosedur operasi standard, polis akan membuat 98 sekatan jalan raya di seluruh negara.

Orang ramai dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri bermula hari ini hingga 10 Mei.

Mengikut jadual yang ditetapkan polis, perjalanan hari ini merangkumi pergerakan pulang dari Kuala Lumpur, manakala esok untuk pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan.

Perjalanan pada Sabtu merangkumi pergerakan pulang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang, manakala perjalanan pada Ahad merangkumi pergerakan pulang dari Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu.

Dalam pada itu, polis dilaporkan mewujudkan tujuh pos kawalan di beberapa lebuh raya utama.

Menurut Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Supt Bakri Zainal Abidin, pos tersebut untuk pemeriksaan rawak terhadap kenderaan bagi memastikan pengguna lebih raya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Tujuh pos kawalan terpilih ini membabitkan dua di zon utara, satu di zon selatan, dua di zon timur serta dua di zon tengah. Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi jadual pergerakan ditetapkan, bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya seperti dipetik Bernama.

Menurut Bernama, polis telah meluluskan sejumlah 143,516 permohonan perjalanan rentas negeri yang dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia.