Ismail: Siapa akan periksa suhu badan masa beraya?
Kesukaran untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan berkaitan pencegahan Covid-19, menjadi punca mengapa pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri dan juga ziarah tidak dibenarkan, jelas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.
Beliau akui ia satu perkara berat untuk dihadapi semua rakyat terutama yang menyambutnya, namun berbanding pasar raya sebagai contohnya, SOP itu sebenarnya lebih mudah untuk ditetapkan di premis perniagaan seperti itu.
"Sebagai contoh siapa yang nak masuk mesti beratur, jarak satu meter… jarakan sosial mesti dijaga, sebelum masuk juga kena saring dan untuk masuk juga kena ada jumlah tertentu yang kita perlu tetapkan, jadi semua SOP itu kita jelas.
“Tetapi balik kampung siapa yang nak pantau, dalam satu rumah tiba-tiba berpeluk-peluk dengan saudara-mara, macam mana kita nak pastikan jarakan sosial berlaku, bagaimana nak pastikan ada yang periksa suhu setiap orang yang masuk ke rumah,” katanya dalam program 'Ruang Bicara' Bernama TV, yang disiarkan secara langsung, malam tadi.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, walaupun satu jawatankuasa khas telah dibentuk antara agensi kerajaan untuk memantau kepatuhan kepada SOP berkenaan, namun beliau berkata anggota yang ada, tidak mencukupi untuk memantau setiap rumah di seluruh negara.
"Jadi (pemantauan) pematuhan itu kita jangka tak dapat kita laksanakan. Jadi apa yang kita buat ini adalah untuk menjaga kepentingan semua, kita tidak mahu hari raya ini menjadi satu kluster baru, akibat raya balik ke tempat kerja bawa penularan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya ia tertakluk kepada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang arahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan ini, termasuk kebenaran untuk pulang ke kampung.
“Seperti saya katakan, kita akan rujuk kepada Kementerian Kesihatan, kerana Akta 342 ini adalah akta di bawah kementerian ini, dan di dalam akta ini menteri kesihatan boleh keluarkan arahan, jadi arahan menteri pada ketika ini, tidak boleh,” katanya.
Ismail berkata, walaupun ada juga beberapa pihak yang minta supaya kebenaran diberikan dengan mengenakan SOP tertentu, beliau berkata ia tidak dapat dilakukan, selagi ia diletakkan di bawah senarai terlarang.
"Selagi itu ia tidak boleh ada SOP pun, SOP hanya boleh dikeluarkan kepada senarai dibenarkan,” katanya.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai