Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanak semula nasi PH

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP l Pada hemat saya, Pakatan Harapan (PH) yang kini terdiri hanya tiga parti iaitu PKR, DAP dan Amanah tidak perlu taksub untuk merebut semula kerajaan secara usul-usul di Parlimen.

Cara yang terbaik ialah mendapatkan semula mandat rakyat melalui peti undi. Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak sampai tiga tahun lagi.

Kerajaan PH tumbang pada 24 Februari 2020 angkara pengkhianatan bermula dari dalam PH itu sendiri.

Nasi sudah jadi bubur. Biarlah dia jadi bubur. Dulu PH gabungan empat buah parti. Kini PH tinggal tiga buah parti sahaja. Ada hikmahnya.

Nasihat saya ialah supaya PH tanak nasi semula. Kali ini biar dia betul-betul jadi nasi dan tidak jadi bubur lagi.

PH pun sudah umumkan Anwar Ibrahim jadi ketua pembangkang di Parlimen. Speaker Dewan Rakyat pun sudah terima. Ini permulaan yang baik.

Rakyat nampak siapa yang mengetuai PH sekarang ini. Tidak mengapa menjadi pembangkang ketika ini. Sabar sedikit. PRU-15 tidak lama lagi.

Lebih baik jadi kerajaan semula dengan mendapat mandat baru dan segar dari rakyat daripada jadi kerajaan melalui usul-usul di Parlimen. Seperti makanan yang berlebihan di rumah kita. Jika dihangat-hangat dan dipanas-panas setiap hari, sudah tidak sedap lagi, kalaupun tidak basi.

Kerajaan secara usul-usul ini tak bertahan lama. Majoritinya kecil dan tidak stabil. Bila-bila masa boleh tumbang semula.

Selama ini pun PH adalah pembangkang. Jadilah pembangkang yang membina dalam tempoh sekarang ini. Berusaha semula untuk jadi kerajaan melalui proses pilihan raya. Itu lebih bermakna. PH tak perlu “meroyan sangat” hendak jadi kerajaan semula.

Pemimpin-pemimpin utama PH perlu yakin bahawa PH mempunyai banyak perkara positif untuk menang besar dalam PRU-15 akan datang. Lupakanlah jawatan-jawatan menteri yang sudah terlepas itu.Tumpukan kepada kerja-kerja politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan kebajikan untuk dapatkan semula sokongan rakyat.

Saya senaraikan di sini lima perkara yang PH mempunyai kelebihan berbanding Perikatan Nasional (PN).

• Pertama, PH sebuah gabungan parti politik yang bersifat pelbagai kaum dan pelbagai agama. Ia mencerminkan rupa bentuk rakyat Malaysia keseluruhannya. Manakala, PN pula gabungan parti politik satu kaum dan satu agama sahaja. Ia mencerminkan rupa bentuk masyarakat di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia sahaja. Bukannya cerminan Malaysia sebenarnya.

• Kedua, PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah mempunyai sejarah panjang bekerjasama menentang Barisan Nasional (BN). Ia bermula dalam Barisan Alternatif (1999- 2004); Pakatan Rakyat (2008-2015). Berbeza PN hanya baru sahaja terbentuk pada akhir bulan Februari 2020 secara “bdan terjun”.

• Ketiga, PH mempunyai dasar bersama dan manifesto bersama yang dibukukan secara bertulis dengan nama Buku Harapan. Manakala PN tidak ada dasar bersama.Tidak ada manifesto bersama.Semuanya seperti “screw longgar’’.

• Keempat, PH mempunyai status undang-undang yang sah. Ia gabungan politik yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS). PN pula masih bersifat gabungan yang longgar dan tiada status undang-undang yang sah. PH ada logo yang sama yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

• Kelima, PH sudah ada pengalaman menjadi kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Ini satu perkara yang boleh meyakinkan rakyat apabila sampai PRU-15 nanti. Manakala PN ini tempoh “lesennya” hanya sampai PRU-15 sahaja.Tak pasti lagi bagaimana gabungan “caca marba” ini akan menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

Jadi PH yakinlah kepada diri sendiri. Dengar pandangan rakyat dan sokongan akar umbi. Janganlah "mendengar guruh di langit; air ditempayan dicurahkan."


HASSAN KARIM ialah Anggota Parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.