Skip to main
Logo Malaysiakini

Tinggal hanya 10 daerah zon merah Covid-19 di seluruh negara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hanya sepuluh daerah di seluruh negara yang diletakkan di bawah zon merah Covid-19, dengan masing-masing daerah mempunyai lebih 40 kes yang masih dalam rawatan.

Data kes aktif yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini menunjukkan daerah zon merah tertumpu di kawasan berpenduduk padat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak.

Kuala Lumpur mempunyai bilangan kawasan zon merah tertinggi, dengan empat daerah merah iaitu Batu (98 kes aktif), Ibu Kota (155 kes aktif), Kampung Bharu (67 kes aktif) dan Sri Petaling (45 kes aktif).

Semalam sahaja, Kuala Lumpur mencatatkan 20 kes baru atau 51 peratus daripada semua kes.

Kementerian Kesihatan berkata tujuh daripada kes tersebut dijejaki dari pasar borong Kuala Lumpur di daerah Batu sementara tujuh yang lain dikesan ke sebuah pusat membeli-belah Kuala Lumpur.

Pusat membeli-belah ini terletak di Cheras tetapi di bawah bidang kuasa Jabatan Kesihatan Salak Selatan. Oleh yang demikian, kes-kes yang dijejaki di sana direkod di daerah Salak Selatan.

Selangor, yang merekodkan 16 daripada 39 kes baru semalam, mempunyai tiga daerah zon merah - Petaling (49 kes aktif), Hulu Langat (57) dan Gombak (84).

Sebilangan besar kes baru di Selangor dijejaki ke Kampung Sungai Lui di Hulu Langat, yang sebelumnya ditempatkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas berlaku lonjakan kes yang dikesan ke sekolah tahfiz di sana.

Sarawak hilang satu zon hijau

Di Sarawak, daerah zon merah ialah Kuching (102 kes aktif) dan Kota Samarahan (44 kes aktif).

Daerah Lundu yang terletak 81 km dari Kuching hanya merekodkan satu kes sahaja semalam.

Lundu sebelumnya terletak di bawah zon hijau. Ini kes pertama yang direkod di daerah ini sejak wabak koronavirus baru itu melanda Malaysia pada Januari.

Sementara itu, hanya Kluang di Johor yang diletakkan sebagai daerah zon merah dengan 54 kes masih dalam rawatan.

Dua kampung di Simpang Renggam, di bawah bidang kuasa Kabatan Kesihatan Kluang, sebelumnya diletakkan di bawah PKPD.

Zon kuning dan hijau

Negeri dan wilayah di zon kuning merangkumi Melaka, Putrajaya, Terengganu dan Sabah, di mana setiap daerah masing-masing mempunyai kurang 10 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan, Kunak di Sabah kembali ke zon kuning dengan satu kes aktif. Walau bagaimanapun, data jabatan kesihatan negeri menunjukkan Kunak tidak mempunyai kes aktif.

Pahang, yang juga berada di zon kuning, mempunyai dua daerah dengan lebih daripada 10 kes aktif iaitu Kuantan (17 kes aktif) dan Jerantut (13).

Selebihnya sembilan daerah di Pahang sama ada tidak mempunyai kes aktif atau kurang tujuh kes.

Sebilangan besar kes aktif di Negeri Sembilan adalah di Seremban (37 kes) sementara enam daerah selebihnya masing-masing merekodkan kurang daripada lapan kes.

Kedah hanya mempunyai satu kes aktif - kes import yang dirawat di Kota Setar - sementara Perak, Kelantan, Perlis, Labuan dan Pulau Pinang kini berada di bawah zon hijau dengan kes aktif sifar.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.